TUARAN: Naib presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Gundohing Henry Saimpon mengesyorkan agar kerajaan segera memberhentikan buat sementara ‘pengiktirafan’ Surat Akuan Bersumpah atau Akuan Berkanun yang digunakan untuk tujuan proses dokumentasi pengenalan diri.
Beliau berkata langkah drastik itu penting susulan laporan peningkatan mendadak jumlah pemohon dokumen pengenalan diri yang dikaitkan dengan warga asing menggunakan dokumen Surat Berkanun atau Surat Akuan Bersumpah.
Surat Akuan Bersumpah ialah prosedur yang digunakan untuk membuat akuan dengan kepercayaan bahawa sebarang maklumat yang tersebut dalam Surat Akuan/ Sumpah adalah benar dan menurut Undang-undang Surat Akuan 1960.
Henry berkata KDM Kiulu memandang serius perkara itu apatah lagi Sabah sudah sekian lama bergelut dengan masalah kebanjiran orang asing dan projek IC.
“Sebab itu, kerajaan perlu bertindak segera membetulkan keadaan, termasuk menghentikan sementara pengiktirafan Surat Akuan Bersumpah bagi membolehkan siasatan menyeluruh dilakukan.
“Jika amalan ini tidak dibendung segera, kita khuatir ia akan menjejaskan kepentingan orang tempatan pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, bagi orang tempatan,
mereka biasanya tidak menghadapi masalah untuk mendaftar anak-anak atau pun orang dewasa yang tinggal di kawasan terpencil untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri.
“Apa yang merisaukan ialah cubaan warga asing menyalahgunakan dokumen Surat Akuan Bersumpah di mana mereka mengaku orang tempatan untuk mempermudahkan urusan mendapatkan dokumen pengenalan diri,” katanya.
Henry berkata KDM Kiulu juga mahu pihak berkuasa menyiasat sama ada terdapat pemegang dokumen digital yang diberikan oleh kerajaan terlibat menyalahgunakan Surat Akuan Bersumpah untuk memperolehi dokumen pengenalan diri.
Baru-baru ini, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan menasihatkan Pesuruhjaya Sumpah dan pihak berkuasa lain supaya berhati-hati dalam mengesahkan akuan berkanun (SD), memetik dakwaan penyalahgunaan dokumen oleh warga asing.
Kitingan turut menunjukkan tiga salinan SD yang didakwa sedemikian yang mana pemohon ingin pengisytiharan itu menjadi dokumen sokongan kepada proses dokumentasi pengenalan diri mereka.