Gambar – Dr Gaim James Lunkapis (DUN Tamparuli) dan Henry Saimpon (DUN Kiulu)
KOTA KINABALU: Pemimpin parti Kesejathraan Demokratik Masyarakat (KDM) di kawasan Tamparuli dan Kiulu, Dr. Gaim James Lunkapis dan Henry Saimpon sepakat berkata bahawa pembangunan infrastruktur yang berkualiti adalah merupakan keutamaan dalam usaha mereka memajukan sosioekonomi masyarakat luar bandar.
Mereka percaya bahawa infrastruktur yang baik akan menjadi pemangkin utama untuk meningkatkan taraf hidup penduduk tempatan, membuka lebih banyak peluang pekerjaan, dan merangsang pertumbuhan ekonomi.
Menurut kenyataan pemimpin KDM Dr. Gaim dan Henry yang ditemui baru-baru ini, menyatakan bahawa kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air bersih, elektrik, dan rangkaian komunikasi di kebanyakan kawasan Kiulu dan Tamparuli adalah sangat daif dan perlu dinaik taraf dalam kadar segera.
“Kami sedar bahawa penduduk luar bandar menghadapi pelbagai kekangan, terutama dari segi akses kepada peluang ekonomi dan pendidikan yang setara.
“Oleh itu infrastruktur yang baik bukan sahaja memudahkan akses keperluan harian, malah meningkatkan daya saing kawasan luar bandar dengan bandar,” kata salah seorang pemimpin KDM.
Pemimpin KDM juga menyuarakan komitmen mereka untuk memperjuangkan projek pembangunan yang inklusif dan mampan sekiranya diberi peluang oleh kerajaan.
Mereka percaya bahawa dengan perancangan yang teliti dan kolaborasi yang kukuh bersama pihak berkuasa serta agensi berkaitan, kemajuan infrastruktur di kawasan Tamparuli dan Kiulu dapat dicapai.
“Sekiranya diberi peluang, ini akan menjadi keutamaan KDM,” tambah mereka.
Harapan mereka adalah untuk melihat masyarakat luar bandar menikmati manfaat pembangunan yang sama seperti masyarakat bandar, sekaligus menyumbang kepada kemajuan Sabah secara keseluruhan.
Kenyataan ini memberi penekanan bahawa pembangunan sosioekonomi luar bandar tidak boleh dipinggirkan.
Dengan infrastruktur yang mantap, masyarakat luar bandar khususnya di Tamparuli dan Kiulu akan mempunyai peluang yang lebih besar untuk menikmati kemajuan dan mencapai kualiti hidup yang lebih baik.