KOTA BELUD: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bertekad untuk mewujudkan semula pemberian dividen Amanah Saham Sabah sekitarnya diberi mandat bersama membentuk kerajaan negeri selepas pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Presiden KDM Datuk Peter Anthony berkata komitmen itu terkandung dalam satu daripada dua lagi manifesto KDM bagi menghadapi PRN yang dijangkakan diadakan pada tahun depan.
Mengikut perancangan, katanya rakyat Sabah yang kini berjumlah sekitar 3.4 juta layak menerima Amanah Saham itu.
Mengikut sejarah, pembahagian Sijil Amanah Saham dan dividen sebanyak RM50 diumumkan oleh bekas Ketua Menteri Sabah Tun Datu Mustapha Datu Harun pada tahun 1971, dan pembahagian dividen dalam bentuk wang tunai tersebut dikendalikan oleh Yayasan Sabah.
Peter yakin dengan tadbir urus yang baik Yayasan Sabah mampu menjayakan inisiatif pemberian dividen Amanah Saham lebih daripada RM100 kepada rakyat Sabah yang layak.
Beliau juga mengumumkan manifesto yang memberi fokus kepada usaha menambahbaik pengurusan tanah di Sabah.
Ini termasuk mengkaji kemungkinan memberikan tanah kepada penduduk Sabah yang langsung tidak memiliki tanah dan memperhebatkan usaha untuk membantu mempercepatkan kelulusan permohonan tanah dan pengazetan tanah kampung.
Peter berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran jentera PRN bagi DUN Kadamaian, dekat sini pada Ahad.
Sebelum ini, Peter mengumumkan tiga manifesto yang melibatkan biasiswa pendidikan, bantuan bulanan kepada warga emas dan juga pemberian rumah kepada golongan miskin.
Peter turut memperjelaskan manifesto bantuan bulanan kepada warga emas iaitu komitmen untuk memberikan elaun bulanan sebanyak RM500 kepada warga emas jika berjaya membentuk kerajaan dalam PRN akan datang.
Beliau juga membangkitkan pelbagai isu rakyat termasuk masalah bekalan air yang menurutnya gagal ditangani oleh kerajaan negeri dengan baik.