Kerjasama strategik antara IKMa, UMS perkasa koperasi di Sabah

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) meterai kerjasama strategik dengan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sebagai peneraju dalam memajukan gerakan koperasi di negeri ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, sesi pertukaran Surat Niat diantara kedua-dua institusi menandakan bermulanya usaha melibatkan pemindahan pengetahuan, penyelidikan dan pemindahan kepakaran.

“Kerjasama ini membolehkan pelajar UMS dari bidang perniagaan, ekonomi dan perakaunan menjalani latihan industri di IKMa, manakala pegawai IKMa pula mendapat peluang untuk terlibat dalam penyelidikan atau projek di UMS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Karnival PROTÉGÉ KUSKOP Zon Borneo (Sabah) 2024, di sini, hari ini.

Ewon berkata, Karnival Zon Borneo (Sabah) itu merupakan siri terakhir daripada enam siri yang diadakan di seluruh negara.

Katanya, karnival itu merupakan platform utama dalam memperkenalkan dan mengarusperdanakan program-program keusahawanan yang dilaksanakan oleh KUSKOP di bawah inisiatif PROTÉGÉ.

“Terima kasih kepada UMS atas kerjasama dengan KUSKOP bagi menjayakan karnival ini yang berlangsung selama dua hari.

“Realitinya, bilangan graduan yang menamatkan pengajian dari Institusi Pengajian Tinggi semakin bertambah saban tahun.

“Merujuk kepada Statistik Graduan 2021 sehingga 2023 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, secara purata sebanyak 247,000 graduan dilahirkan setahun,” katanya.

Ewon menyeru semua graduan dan mahasiswa yang hadir pada majlis itu untuk mengubah minda sebagai pencari kerja kepada penjana pekerjaan dengan menjadi usahawan.

Menurutnya, keusahawanan adalah salah satu cara yang terbukti berkesan untuk membangunkan sosioekonomi setempat.

“Ia bukan sahaja membantu dalam meningkatkan pendapatan individu, tetapi juga dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk masyarakat sekeliling.

“Kerajaan melalui KUSKOP amat komited dalam usaha membangunkan sektor keusahawanan di Malaysia, terutama sekali dalam membantu graduan dan mahasiswa untuk menceburi bidang ini.

“Kita mahu melihat mahasiswa dan graduan di Malaysia berjaya menghadapi segala cabaran dalam bidang keusahawanan dan menjadi pemimpin yang mampu membawa nama Malaysia ke persada dunia,” katanya.

Menurutnya, bagi memastikan mahasiswa dan graduan di Malaysia berada dalam sektor keusahawanan, KUSKOP melalui PROTÉGÉ melaksanakan beberapa program keusahawanan yang melibatkan mahasiswa dan graduan bagi tahun 2024.

“Sehingga kini seramai 60,649 mahasiswa dan graduan telah mengikuti pelbagai program keusahawanan PROTÉGÉ di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12),” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles