TEMERLOH: Kementerian Pembanguan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) komited membantu dan menggalakkan penubuhan lebih banyak koperasi di kalangan profesional, graduan dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, banyak koperasi yang diusahakan oleh penjawat awam termasuk kakitangan PBT mencapai kejayaan yang amat membanggakan dalam perusahaan koperasi mereka.
“Sebagai kementerian yang bertanggungjawab kepada pembangunan gerakan koperasi negara, sememangnya kita mahu gerakan koperasi terus berkembang termasuklah galakan kita seperti mana yang banyak kali saya nyatakan di Parlimen, iaitu pembangunan koperasi di kalangan graduan, penjawat awam, pesara kerajaan termasuk pejabat-pejabat kerajaan seperti majlis-majlis perbandaran untuk menubuhkan koperasi.
“Mereka boleh menjalankan perkhidmatan koperasi mereka tanpa menjejaskan tugas hakiki mereka seperti mana yang telah dibuktikan oleh Koperasi Kakitangan Majlis Perbandaran Temerloh (KOSITE)”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kafe Chicken Honey Koperasi KOSITE, di Chicken Honey KOSITE, Esplanade Temerloh Pahang, di sini, hari ini.
Mengenai majlis itu, Ewon berharap akan membuka ruang lebih besar kepada Kafe Chicken Honey menjana perolehan yang lebih besar.
“Saya berharap melalui perasmian kafe ini yang diusahakan secara francais bersama rakan niaga mereka akan memberi nilai tambah kepada perkhidmatan dan perniagaan sedia ada yang dilaksanakan oleh Koperasi KOSITE.
“Saya menyatakan pandangan agar Koperasi KOSITE, tanpa menjejaskan tugas hakiki mereka di pejabat, mereka boleh terus mengembangkan perusahaan koperasi termasuk membangunkan produk dan perkhidmatan beridentitikan Temerloh,” katanya.
Hadir sama, Ketua Setiausaha KUSKOP Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, Setiausaha Bahagian Pembangunan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil KUSKOP Azizul Alias, Naib Ketua Pegawai Eksekutif Operasi dan Kawal Selia Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Siti Azlin Ahmad Dauta dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh Haji Suris Mihat.