Belanjawan 2025 : Peningkatan sumbangan STR dan SARA beri manfaat kepada penerima di negeri Sabah – Supardianshah

TAWAU : Belanjawan 2025 menyaksikan peningkatan tertinggi bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta Sumbangan Asas Rahmah (SARA) apabila RM13 bilion diperuntukkan kerajaan untuk tahun depan berbanding hanya RM10 bilion sebelum ini.

Advertisements

Pengerusi Ahli Jemaah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kunak Datuk Supardianshah Suyuti berkata, peningkatan ini secara tidak langsung akan memberi memberi manfaat kepada sembilan juta penerima atau bersamaan 60 peratus penduduk dewasa terutama di negeri Sabah.

Katanya, ini bermakna pada tahun hadapan, seramai 4.1 juta penerima STR kategori isi rumah akan menerima SARA bernilai RM100 sebulan berbanding 700,000 penerima tahun ini.

“Bantuan SARA akan dikreditkan ke dalam MyKad penerima bermula April depan dan ini boleh dibelanjakan untuk membeli barangan asas seperti makanan dan minuman, ubat-ubatan, barang persekolahan serta kebersihan diri di lebih 600 pasar raya dan kedai runcit seluruh negara.

“Tidak ketinggalan juga bagi kategori bujang akan menerima STR RM600. Penambahan peruntukan RM3 bilion membolehkan kadar maksimum yang diterima isi rumah meningkat kepada RM4,600 berbanding RM3,700,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Supardianshah merupakan Ahli Lembaga Pengarah Pertubuhan Peladang Peladang Negeri Sabah berkata, Belanjawan semalam turut memberi khabar apabila diumumkan pembesaran Lapangan Terbang Tawau dan Lapangan Terbang Miri dengan peruntukan sebanyak RM253 juta.

“Sebelum ini Menteri Pengangkutan mengadakan lawatan Lapangan Terbang Tawau (LTT) berikutan kelihatan peningkatan secara mendadak jumlah penumpang dan kargo yang kini melebihi kapasiti asal.

“Lapangan terbang ini yang asalnya direka untuk menampung 1.5 juta penumpang setahun, kini beroperasi melebihi kapasiti dengan 1.71 juta penumpang pada tahun lalu,” jelas Supardianshah.

Menurutnya, angka itu dijangka akan terus meningkat tahun ini, terutamanya dengan sektor pelancongan yang semakin rancak dan pesat apabila semakin banyak penerbangan terus dari China dan Macau melalui syarikat penerbangan Batik Air dan FireFly.

“Selain penumpang, perkhidmatan kargo juga menyaksikan lonjakan besar, dengan 13,000 tan kargo dikendalikan tahun lalu, berbanding hanya 4,000 tan pada 2019.

“Kebanyakan kargo ini melibatkan produk makanan segar seperti makanan laut yang dibawa menggunakan penerbangan penumpang.

“Kita yakin apabila melihat potensi besar ini ekonomi Kawasan Pantai Timur ini akan melonjok selain menjadi tumpuan pelancong ia juga akan tertumpu kepada industri kelapa sawit selepas ia siap kelak,” kata Supardianshah.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles