BEAUFORT: Ketua Umno Bahagian Beaufort Datuk Awang Aslee Lakat menyarankan golongan wanita mementingkan aspek kesihatan supaya dapat menjaga keluarga dengan baik.
Beliau berkata, golongan wanita merupakan tonggak dalam sebuah keluarga yang memainkan peranan penting melibatkan pelbagai aspek antaranya berkaitan kesihatan keluarga.
Menurut beliau,pemeriksaan kesihatan berkala amat penting bagi setiap individu dalam mengetahui status kesihatan diri, malah bertepatan dengan pepatah lama iaitu ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’.
“Masyarakat hari ini sering mengabaikan kesihatan kerana tuntutan kerja dan tanggungjawab yang mendesak dalam dunia serba pantas” katanya ketika berucap merasmikan program Kesedaran Kesihatan Wanita anjuran Panel Penasihat Klinik Kesihatan dan Ibu dan Anak Heritage Beaufort di Dewan kampung Kukut dekat sini pada Ahad.
Awang Aslee yang juga Pengerusi Penasihat Pusat Giat Mara Beaufort berkata statistik menunjukkan bawah Wanita hari ini lebih terdedah dengan pelbagai masalah Kesihatan seperti tekanan, penyakit jantung, diabetes dan masalah mental.
“Sesetengah pihak hanya mendapatkan rawatan perubatan apabila benar-benar rasa tidak sihat, sehingga sering terlupa bahawa sesuatu penyakit itu mungkin sudah berkembang ke tahap lebih teruk tanpa disedari.
“Penyakit yang lambat dikesan akibatnya boleh menjadi sangat parah, menyebabkan rawatannya lebih rumit serta mengurangkan peluang untuk pulih sepenuhnya.
Sehubungan itu, Awang Aslee berkata pemeriksaan kesihatan secara berkala perlu dititikberatkan, malah dijadikan sebagai satu aspek asas dalam menjaga kesejahteraan seterusnya menggalakkan masyarakat yang lebih sihat.
Beliau berkata walaupun pemeriksaan kesihatan patut disesuaikan untuk setiap individu mengikut jantina, umur dan sejarah kesihatan keluarga, panduan asasnya ialah saringan kesihatan menyeluruh perlu dibuat setiap tahun malah pemeriksaan lebih kerap mungkin diperlukan bagi individu dengan risiko tertentu.
Dalam hubungan ini, Awang Aslee mengingatkan Masyarakat agar menepis tanggapan pemeriksaan kesihatan hanya perlu dilakukan apabila terdapat simptom, atau ia memakan masa yang panjang, atau menyakitkan dan hanya untuk orang tua.
Mengenai program tersebut Awang Aslee menyeru agar masyarakat dapat memanafaatkanya untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan apa lagi ianya dilaksanakan secara percuma kepada orang ramai.
Beliau berkata pemeriksaan kesihatan tahunan yang merangkumi ujian darah untuk kesihatan kardiovaskular, gula dalam darah serta ujian tekanan darah adalah penting.
“Pemeriksaan kesihatan, katanya bertujuan memantau dan mengesan masalah kesihatan sebelum menjadi lebih teruk, walaupun tanpa gejala kerana pemeriksaan dilakukan memungkinkan pengesanan awal serta intervensi” katanya
Hadir sama di majlis tersebut Pegawai Kesihatan Kawasan Beaufort Dr.Neilson Richard Seling,Pengerusi Panel Penasihat KKIA Heritage Beaufort Juriffah Safflie dan Timbalan Ketua Bahagian Umno Beaufort Haji Jaluddin Kadir.