Program Jelajah Pemuda PBS dilancar

KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) melancarkan program jelajah sempena sambutan Hari Sabah dan Kongress Tahunan parti.

Advertisements

Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menyempurnakan pelepasan konvoi Jelajah Pergerakan Pemuda PBS itu pada acara diadakan di Plaza Tanjung Aru, di sini, pada Ahad.

Konvoi yang menuju ke Tawau itu terdiri daripada beberapa kenderaan pacuan empat roda (4WD).

“Program jelajah ini juga bertujuan untuk menyebarkan bahawa PBS masih kekal relevan dalam berjuang untuk rakyat Sabah,” kata Dr. Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri II.

Dr. Joachim turut mengucapkan terima kepada Pergerakan Pemuda, PBS Bahagian N.22 Tanjung Aru serta semua yang terlibat dalam program itu.

“Kepada semua Pemuda yang terlibat dalam program ini, nyatakan kepada semua rakyat bahawa kita masih bersama-sama dan berjuang dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Janganlah menimbulkan atau mempersoalkan yang lain lagi.

“PBS adalah parti lokal tertua, kita mesti bekerjasama dengan parti-parti lokal.

“Pilihan Raya Umum Negeri semakin menghampiri dan banyak tohmahan-tohmahan dan isu-isu yang direka-reka yang cuba mengelirukan rakyat. Bersama dengan Ahli Majlis Tertinggi (AMT), kita menyatakan pendirian kita akan tetap kekal bersama GRS,” katanya.

Beliau juga berpesan kepada semua Exco Pemuda yang menjelajah, apabila berada di jalan raya perlu memastikan keselamatan.

“Stay safe, stay United. Sampaikan mesej kepada semua rakyat bahawa PBS ialah sebuah parti yang bersatu dan berjuang untuk orang Sabah.”

Ketua Exco Pergerakan Pemuda, Dr. Christoper Mandut yang mengetuai konvoi mengucapkan terima kasih kepada Dr. Joachim yang telah menaja program tersebut.

Turut hadir Naib Presiden PBS, Datuk Johnny Mositun, Ahli-ahli Majlis Tertinggi (AMT), Ketua Bahagian N.22 Tanjung Aru, Louis Lai, Exco Wanita dan Pemuda.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles