KOTA KINABALU: Tatkala Ketua Menteri Sabah membayangkan pilihan raya negeri (PRN) akan diadakan lebih awal, bendahari UMNO Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak pula melontarkan pandangan betapa pentingnya UMNO Sabah mengaplikasi strategi baharu bagi memastikan kemenangan pada PRN akan datang.
Beliau berkata pendekatan baharu perlu memandangkan parti nasional itu berdepan cabaran genting menjelang PRN ke-17.
“Sebab itu kita wajar bersama-sama membincangkan strategi utama yang bukan sahaja akan mengukuhkan kehadiran kita dalam komuniti setempat tetapi juga memastikan kita bersedia sepenuhnya untuk meraih kemenangan.
“Fokus kita ialah mengenal pasti pengundi atas pagar, dan menggerakkan golongan muda amat signifikan dalam mencapai misi kita,” katanya ketika menyampaikan taklimat kepada Jentera Parti UMNO Kota Belud, di sini baru-baru ini.
Taklimat itu turut dihadiri Ketua Umno Bahagian Kota Belud Azuwan Marjan Norjan dan ahli jawatankuasanya.
“Melangkah ke hadapan, marilah kita terus bekerja sebagai satu pasukan yang padu, mengutamakan kepentingan masyarakat kita dan memperjuangkan nilai-nilai yang diperjuangkan oleh UMNO—autonomi, pembangunan, dan keharmonian antara semua kaum dan agama. InsyaAllah, dengan penuh keazaman dan ketabahan,” katanya.
Salleh yang juga ADUN Usukan optimis
Kota Belud akan terus menjadi kubu kuat UMNO, dan berharap “UMNO akan menyumbang kemenangan gemilang dalam pilihan raya akan datang”.
“Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap keupayaan kolektif kita untuk bangkit. Mari kita mengekalkan momentum dan memastikan usaha kita diterjemahkan kepada kejayaan di peti undi,” katanya.
Bekas ketua menteri Sabah itu turut berterima kasih kepada sokongan rakyat yang tidak berbelah bahagi untuk mencapai keputusan yang diinginkan,
“Bersama-sama lah kita akan terus membina masa depan yang lebih cerah untuk Kota Belud dan negara tercinta,” tambahnya.