KOTA KINABALU : Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) perlu menarik balik notis arahan meroboh struktur bangunan terhadap pemilik tanah, pewaris melalui Skim Pembangunan Semula Tanah Sembulan.
Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed berkata, perkara ini sehingga semua prosuder serta makluman kepada penduduk Kampung Sembulan Tengah dapat diselesaikan secara baik iaitu berkaitan cadangan Skim Pembangunan Semula Tanah Sembulan dapat diselesaikan secara baik.
Katanya, UMNO Putatan tidak pernah menghalang apa-apa bentuk cadangan pembangunan serta kemajuan yang diwujudkan di kawasan rumah penduduk Kampung Sembulan.
“Tetapi kami juga ingin melihat kemajuan Kampung Sembulan lama dan Baru dikekalkan sebagai kampung tradisi khususnya di kawasan dalam bandaraya Kota Kinabalu.
“Kerana bagi kami, kampung ini bukan baharu diwujudkan dalam 10 tahun lalu…Tetapi kampung ini sudah wujud dan berada beratus tahun di sana,” katanya dalam sidang media hari ini.
Jeffery Nor berkata, beliau memohon agar pihak kerajaan negeri memikirkan semula isu ini sekali gus mewujudkan satu hubungan komunikasi yang baik khususnya dalam kalangan kedua-dua pihak.
“Jangan keluarkan notis tanpa ada satu jaringan komunikasi perhubungan bersama penduduk, kampung kerana perkara ini dilihat sangat membebankan mereka serta ia perlu diselesaikan secara baik.
“Jadi pada saya petang ini, kami berdiri di belakang penduduk bersama pemilik yang telah dikeluarkan notis selama 14 hari berkaitan perobohan rumah mereka di Kampung Sembulan Tengah.
“Kami tiada kompromi terhadap notis ini serta memohon ia perlu ditarik balik sehingga semua prosuder itu diselesaikan secara baik bersama penduduk kampung,” jelas Jeffery Nor.