KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan meneliti dan mempertimbangkan semula cadangan untuk menjadi salah satu penganjur bersama Sukan SEA 2027.
Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin berkata keputusan itu dibuat pada Rabu secara sebulat suara oleh ahli- ahli mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oKetua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, selepas meneliti dan menilai pelbagai aspek.
Mengenai cadangan awal Sabah menjadi salah satu penganjur bersama Sukan SEA 2027, beliau berkata ia masih memerlukan persetujuan Jemaah Menteri.
“Kelmarin, kami telah bersetuju bahawa Sabah akan meneliti dan mempertimbangkan semula cadangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ellron berkata Kementerian Belia dan Sukan Sabah akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia untuk mendapatkan perincian lanjut cadangan penganjuran bersama Sukan SEA 2027.
“Saya akan bertemu dengan Menteri KBSM secepat mungkin untuk membincangkan dan memperjelaskan perkara ini secara terperinci.
“Hasil perbincangan dan maklumat terperinci berkaitan penganjuran akan dibentangkan untuk pertimbangan Jemaah Menteri Sabah,” katanya.
Bagaimanpun, Ellron yang juga bekas pelari pecut negara berkata kerajaan negeri amat menyambut baik hasrat kerajaan persekutuan untuk menganjurkan temasya itu dan akan memberikan sokongan penuh serta bekerjasama erat bagi memastikan kejayaan Sukan SEA 2027.
–