PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, Ketua Setiausaha (KSU) KUSKOP Dato Sri Suriani Dato Ahmad telah memberikan sumbangan besar kepada kementerian itu dalam membantu usahawan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dan koperasi di seluruh negara.
Ewon berkata, ia dapat dilihat berdasarkan pencapaian prestasi PMKS dan koperasi yang telah melonjak lebih baik selain prestasi pelaksanaan program dan projek pembangunan yang sentiasa mengatasi purata nasional.
“Beliau (Dato Sri Suriani) juga memudahcarakan pelaksanaan fokus-fokus tambahan yang dilaksanakan di Sabah dan Sarawak seperti projek Tamu Desa, pembukaan cawangan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), pengujudan BEEP Plus untuk Bumiputera Sabah dan Sarawak, sesi libat urus khas belanjawan Borneo serta pelbagai inisiatif agensi-agensi KUSKOP, selain daripada fokus sedia ada di seluruh negara.
“Saya bertuah dapat bekerjasama dengan beliau dan saya amat yakin beliau boleh memberikan perkhidmatan cemerlang di Kementerian Kesihatan.
“Semoga kebersamaan ini terus kekal dalam memberikan yang terbaik kepada rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan media selepas pertemuan dengan Suriani, di pejabatnya, di sini, hari ini.
Suriani akan dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan mulai esok dan tempat beliau di KUSKOP akan diisi oleh Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, yang sebelum ini memegang jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
“Mewakili seluruh warga KUSKOP dan agensi serta dari saya sendiri, saya ucapkan terima kasih buat Dato Sri Suriani atas sumbangan besar sepanjang menjadi KSU KUSKOP,” katanya.
Dalam usaha memperkukuh kepimpinan sektor awam, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar, hari ini mengumumkan perubahan penempatan dan pelantikan baharu bagi 12 jawatan pengurusan tertinggi perkhidmatan awam.
Langkah ini diambil selaras dengan matlamat kerajaan untuk melaksanakan reformasi perkhidmatan awam yang lebih dinamik dan responsif.
Pengumuman ini melibatkan sembilan Ketua Setiausaha (KSU), seorang Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, dan dua Ketua Pengarah.
Pertukaran ini akan berkuat kuasa esok dan sebahagian lagi pada 23 September, suslan pengumuman pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 16 Ogos lalu.