Oleh: Jaafar Abd Wahid
PAPAR: Kestabilan institusi kekeluargaan ada satu keperluan pada zaman sekarang kerana ia bukan sahaja mengukuhkan masyarakat untuk membina bangsa tetapi membentuk individu yang akan memimpin kebangkitan sebuah peradaban.
Ketua Pergerakan Puteri Umno bahagian Papar Ummi Nabilah Jamal berkata institusi kekeluargaan yang stabil adalah ramuan utama bagi kebangkitan peradaban dan unit keluarga memainkan peranan utama dalam menentukan masa kini dan masa depan mana-mana negara.
Dalam hubungan in, Ummi berkata Pergerakan Puteri Umno bahagian Papar sempana sambutan Kemerdekaan tahun ini mengambil peluang untuk mengadakan sambutan Hari Keluarga yang melibatkan anggota parti sebagai medium memperkukuhkan semangat kekeluargaan di kalangan anggota parti.
Katanya, melalui program tersebut ianya akan dapat menanamkan nilai-nila murni,kasih sayang,kerjasama hormat menghormati antara satu sama lain selain menyemarakkan semangat patriotisme di kalangan masyarakat khususnya anggota parti.
“Ciri-ciri ini penting dalam institusi parti politik khususnya UMNO bagi memastikan kesepakatan serta semangat kerja berpasukan menjadi teras utama membawa kejayaan parti mendepani cabaran khususnya untuk menghadapi PRN ke-17 akan datang,” katanya semasa berucap pada majlis Hari Keluarga anjuran Pergerakan Puteri Umno bahagian Papar di Blue Cabin Resort Papar pada Ahad.
Program tersebut dirasmikan oleh Ketua Umno bahagian Papar Datuk Jamal Nerubi dan turun dihadiri oleh Naib Ketua Umno bahagian Papar Razwan Garin, Ketua Wanita Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Ketua Pergerakan Pemuda Umno bahagian Papar Hafizi Sulaiman dan Ketua Penerangan Umno bahagian Papar Hairul Rahman.
Terdahulu, berucap di majlis tersebut Jamal yang juga Setiausaha Politik Kepada Timbalan Perdana Menteri memuji usaha yang dilakukan oleh Pergerakan Puteri Umno bahagian Papar yang menganjurkan program tersebut yang bukan sahaja mengisi kegiatan untuk menyambut hari kemerdekaan negara, namun dalam masa yang sama dapat memperkukuhkan hubungan silatulrahim dan semangat bekerjasama diantara anggota parti.
Menurut beliau semua pihak dari kepimpinan tertinggi sehinggalah ke peringkat ahli di peringkat akar umbi perlu mengutamakan kepentingan parti, memperkukuhkan perpaduan dan fokus membina kekuatan.
“Telah terbukti berasaskan sejarah UMNO. Bila parti diutamakan, perpaduan kukuh, UMNO berupaya lalui apa juga cabaran dengan mudah dan berjaya. Kerana itu, mari kita bersama untuk terus memperkukuhkan perpaduan UMNO di semua peringkat. Kita mesti seia senada, berbeza pandangan memang biasa namun sesekali jangan ianya merosakkan parti yang kita sayangi ini,” katanya.
Pelbagai acara turut diadakan sempana program tersebut antaranya senam robek,sukan neka dan pertandingan melukis jalur gemilang untuk peringkat kanak-kanak.