KOTA BELUD: Kerjasama berpasukan, terutama kalangan guru-guru merupakan antara elemen penting yang menyumbang kepada kejayaan dalam arena pendidikan di Sabah.
Sehubungan itu, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid JPN Sabah Muddin Bin Beting mahu kerjasama seumpama itu dibudayakan dan dipraktikkan secara berterusan demi memperkasakan lagi bidang pendidikan.
Sambil mengambil contoh kejayaan para pelajar tingkatan 6 SMK Usukan dekat sini, beliau berkata kejayaan mereka adalah hasil daripada usaha secara kolektif dan kerja berpasukan.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua tenaga pengajar yang telah menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap tugas dan amanah yang diberikan bagi memastikan tranformasi pendidikan berjalan lancar dan memenuhi aspirasi negara,” katanya.
Muddin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi Tingkatan 6 SMK Usukan hari ini.
Beliau turut menzahirkan harapan agar
pihak sekolah akan terus berusaha tanpa jemu untuk mempertingkatkan pencapaian “anak-anak kita” ke tahap yang lebih baik dan cemerlang.
Muddin berkata Majlis Graduasi itu bertujuan mengiktiraf pencapaian cemerlang yang telah ditunjukkan oleh pelajar-pelajar tingkatan 6 SMK Usukan.