KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah dan Menteri Belia dan Sukan Negeri dsaran untuk memberi penjelasan secara telus tentang rasional kerajaan GRS memberi jumlah sebesar RM100 juta bagi menjayakan Sukan SEA 2027.
Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Suhaimi Nasir berkata penjelasan terperinci itu penting kerana langkah itu dikatakan menimbulkan satu keraguan tentang keutamaan Kerajaan GRS yang seolah-olah hanya mencari populariti murahan sedangkan peruntukan tersebut boleh digunakan untuk menyelesaikan situasi infrastruktur di Sabah yang semakin membimbangkan.
“Bak kata pepatah, kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Slogan, “Rumah Kita, Kita Jaga” , akhirnya menang bersorak sahaja dengan keadaan lubang jalan yang tidak diselenggarkan, bekalan air menganggu kehidupan rakyat dan bekalan elektrik tidak mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Suhaimi yang juga ahli Parlimen Libaran berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Belia dan Sukan Malaysia Hannah Yeoh yang menyatakan bahawa kerajaan Sabah (GRS) akan menyumbang RM100 juta kepada penganjuran Sukan SEA 2027.
“Kita sokong akan niat dan kebersamaan Kerajaan Sabah untuk membantu namun ia menimbulkan beberapa persoalan serius oleh kerana jumlah sumbangan yang agak besar.
“Yang pertama ialah berapakah kesan limpahan ekonomi serta sosial yang akan kembali kepada rakyat Sabah? katanya.
Menurutnya sumbangan yang begitu besar akan memberi kesan buruk kepada rakyat yang kini dibelunggu masalah bekalan air bersih , letrik dan jalanraya yang masih gagal ditangani oleh Kerajaan Negeri Sabah.
Suhaimi turut meminta penjelasan tentang jenis-jenis sukan yang akan dianjurkan di Sabah.
“Adalah menjadi persoalan kepada rakyat Sabah, Kementerian Belia dan Sukan Sabah sendiri tidak pernah membantu atlit secara penuh untuk mencapai kejayaan, apatah lagi menaja sukan yang menjadi icon atlit individu anak Sabah selama ini.
“Atlit yang pernah menyumbang pingat kepada negeri Sabah itu sendiri, diabaikan dan akhirnya, diabaikan tanpa bantuan,” katanya.
Suhaimi berkata UMNO bersetuju Sukan SEA dibuat di Sabah memandangkan impak sangat baik pada industri pelancongan dan rolling ekonomi.
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan GRS perlu meneliti pelbagai masalah, termasuk infrastruktur ataupun fasiliti sukan di Sabah jang tidak mencapai piawaian sukan SEA sedangkan banyak yang masih dalam keadaan daif.
Suhaimi berkata kerajaan negeri bakal menanggung kos yang tinggi bagi membaikpulih segala fasiliti sukan untuk mencapai piawaian Sukan Sea.