KUALA LUMPUR : Wanita UMNO Sabah memberikan tumpuan serta fokus untuk menarik sokongan pengundi atas pagar dikenalpasti berpotensi mencorakkan keputusan Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang.
Ketuanya, Senator Datuk Noraini Idris berkata, langkah ini menyumbang kepada kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri sekali gus pengundi atas pagar merupakan penyumbang besar kepada majoriti calon BN di DUN berkenaan.
Katanya, fokus Wanita UMNO Sabah pada PRN17 ini, selain mengutamakan aktiviti menyantuni rakyat yang cukup sinonim dengan Wanita Sabah tetapi juga fokus kepada menarik sokongan pengundi atas pagar.
“Kita melihat pengundi atas pagar di Sabah ini sudah matang, mereka dapat melihat serta menilai sendiri bagaimana corak pemerintahan setiap parti utama di Sabah.
“Ini kerana kerana semua parti utama ini sudah pun pernah menjadi kerajaan mentadbir negeri ini.
“Sudah tentu pengundi akan memilih siapa parti terbaik sekali gus memberi jaminan untuk menyelesaikan masalah infrastruktur Sabah termasuk kemudahan jalanraya, bekalan air serta elektrik selepas sekian lama menjadi isu utama membelenggu rakyat di Sabah,” katanya di sini semalam.
Mengulas mengenai calon kalangan Wanita UMNO Sabah dalam PRN17 ini Noraini berkata, pihaknya mengharapkan agar lebih ramai calon wanita ditampilkan bertanding pada PRN17 Sabah akan datang.
“Pada PRN16 lalu Wanita UMNO Sabah hanya diberikan dua kerusi bertanding pada Dewan Undangan Sabah (DUN) Sekong dan Kukusan.
“Kita sangat mengharapkan pada PRN17 Wanita UMNO Sabah diberikan lebih banyak kerusi sekali gus lebih ramai calon wanita akan ditampilkan kelak,” jelas Noraini.
Menurutnya, pihaknya melihat dalam kalangan calon wanita ini ramai yang berkebolehan serta berkaliber sekali gus sangat berpotensi untuk menang dalam PRN Sabah.
“Pucuk pimpinan perlu memberi ruang serta peluang kepada calon wanita…. Kita yakin boleh menang, jika tidak diberikan peluang bagaimana mengetahui calon wanita ini membuktikan boleh menang serta menyumbang kerusi kepada Barisan Nasional (BN) pada PRN17 nanti,” kata Noraini.
Wanita UMNO Sabah katanya, sangat mengharapkan mendapat pertimbangan dari pucuk kepimpinan UMNO Sabah diharapkan sebagai menghargai peranan serta sumbangan Wanita sebagai jentera utama parti.
“Walaubagaimanapun, cadangan ini hanya bergantung kepada tempat atau kerusi yang akan diberikan oleh pucuk pimpinan nanti sekali gus akan diumumkan bila tiba masanya kelak.
“Jika boleh biarlah lebih daripada kerusi diberikan pada PRN16 lalu, kita yakin wanita dapat menyumbang kemenangan pada PRN17 ini,” tambah Noraini.