Hajiji: Sabah berpeluang capai sasaran 40 pingat emas SUKMA

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menggesa Kontinjen Sabah seramai 713 orang yang beraksi di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-21 di Sarawak melakukan yang terbaik untuk mencapai sasaran 40 pingat emas.
Berdasarkan prestasi Sabah dalam SUKMA ke-20 di Kuala Lumpur dua tahun lalu, pasukan Sabah berjaya membawa pulang 30 emas, 30 perak, dan 38 gangsa. Ketua Menteri yakin pasukan Sabah mampu mencapai sasaran yang ditetapkan tahun ini.
Pada tahun 2022, Sabah menduduki tempat keenam daripada 15 kontinjen yang bertanding dalam sukan paling berprestij negara itu yang turut menyaksikan penyertaan kontinjen dari negara Brunei Darussalam.
Ketua Menteri berkata insentif terbaik pasti menanti pemenang SUKMA Sarawak.
“Kepada semua 713 atlet yang mewakili Sabah dalam sukan dwitahunan ini, berjuanglah sepenuh tenaga dengan semangat kesukanan yang tinggi untuk mengharumkan nama Sabah,” katanya pada majlis Penyerahan Bendera Negeri Sabah kepada Kontinjen Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini.
SUKMA 2024 akan berlangsung di Sarawak bermula 17 Ogos hingga 24 Ogos ini.
“Saya menaruh sepenuh kepercayaan dengan kemampuan atlet-atlet kita dan atlet semua akan membawa kejayaan yang pastinya akan menjadi penanda aras bagi semua acara sukan di negeri ini.
“Dapatkan catatan rekod terbaik supaya anda semua (atlet) boleh mewakili Malaysia ke peringkat lebih tinggi termasuk dalam kejohanan dunia atau olimpik,” kata Hajiji kepada semua atlet.
Ketua Menteri turut menasihati semua atlet supaya mengekalkan tahap disiplin yang tinggi, yang merupakan elemen paling penting apabila bertanding dalam mana-mana pertandingan.
“Sehebat mana pun atlet itu, jika tidak berdisplin, keupayaannya itu tidak akan sampai ke mana. Saya yakin persatuan sukan dan jurulatih telah menyampaikan perkara ini kepada semua atlet. Kita tidak mahu nama baik negeri buruk hanya kerana tidak berdisiplin,” katanya.
“Saya yakin, kontinjen SUKMA Sabah telah bersedia sepenuhnya dari segi mental dan fizikal. Oleh itu, saya berharap semua atlet dapat menjaga pemakanan seharian terutama dalam pengambilan makanan tambahan atau suplemen yang dibenarkan,” katanya sambil menasihati senmua atlet agar terus menjaga kesihatan memandangkan hanya kira-kira dua minggu lagi sebelum SUKMA berlangsung.
Hajiji juga mahu semua pegawai pengiring akan sentiasa menjaga keselamatan dan kebajikan atlet sepanjang berada di Sarawak.

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles