KUALA PENYU : UMNO Bahagian Beaufort bersiap sedia merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kilas dan Kuala Penyu pada Pilihan Raya Negeri (PRN17) akan datang.
Ketua Bahagiannya, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, pihaknya akan bekerja keras memastikan kedua-dua DUN terbabit dimenangi UMNO sekali gus bersiap bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada sesiapa sahaja calon diletakkan kelak.
“PRN kini sudah ada diambang pintu, kita sudah membuktikan pada Pilihan Raya Umum (PRU15), UMNO bertanding di Parlimen Beaufort sekali gus menang meskipun terdapat beberapa sabotaj.
“Kini kedua-dua DUN ini bukan lagi milik UMNO atau Barisan Nasional (BN) biarpun pada PRN lalu kita berhempas pulas, bekerja keras untuk memastikan kedua-dua calon tersebut menang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Mesyuarat Perwakilan Induk Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno Bahagian Beaufort di Dewan Dato Syahbandar Makang Kuala Penyu, di sini hari ini.
Awang Aslee berkata, ahli UMNO diingatkan agar tidak leka serta sentiasa mengikuti arahan dikeluarkan parti sekali gus berusaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di peringkat akar umbi.
“Perlu diingat, DUN Klias dan Kuala Penyu, dari dulu UMNO Bahagian Beaufort umpama ‘Bagai Mendukung Biawak Hidup’ ada segelintir mendakwa faktor duit jadi imbuhan.
“UMNO Beaufort tidak pernah berkira, berhempas pulas membantu kemenangan di DUN Kuala Penyu, bukan kerana faktor duit, tetapi diarahkan mengundi dasar kawan atau sebagai ahli UMNO dan BN,” jelas Awang Aslee.
Menurutnya, UMNO Beaufort yakin mampu menawan semula kedua-dua kerusi ini berdasarkan rekod kerja keras ahli semua peringkat serta kekuatan jentera parti yang berfungsi mengikut arah yang diberikan.
“Ahli UMNO dingatkan jangan leka dibuai mimpi, jangan khianti amanah dan sentiasa mencari jalan mendekati pengundi di peringkat akar umbi serta jangan cepat berputus asa.
“Untuk membantu calon UMNO menang dengan majoriti besar dalam PRN kelak mereka perlu sentiasa bekerja keras jangan fikir soal calon yang penting pastikan calon DUN Klias dan Kuala Penyu menang nanti,” kata Awang Aslee.
Sementara itu, beliau menegaskan UMNO Bahagian Beaufort menyokong penuh kepimpinan Presiden Parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin sebagai Ketua UMNO Sabah.
“UMNO Sabah tidak berpecah, sentiasa kukuh, dengan setia kepada perpaduan parti…Tidak benar UMNO Sabah bergolak seperti didakwa oleh individu yang tidak bertanggungjawab,” tambah Awang Aslee.