Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sepanggar – Bulatan Berungis dijangka siap tahun 2025

KUALA LUMPUR: Projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) dari Sepanggar ke Bulatan Berungis Tuaran kini mencapai status kemajuan sebanyak 76.42 peratus.

Advertisements

Menurut Kementerian Kerja Raya (KKR), laluan sepanjang 11.7 kilometer tersebut dijangka siap pada tahun 2025.

“Secara dasarnya, projek LPB Sabah ini melibatkan penaiktarafan kapasiti, had laju dan fungsi keselamatan jalan sedia ada.

“Selain menambah jumlah lorong dan geometri lebar jalan dengan spesifikasi R5 atau U5, kerja-kerja naik taraf jalan raya ini juga menekankan konsep aliran trafik bebas, selaras dengan konsep lebuh raya tanpa mengabaikan aspek keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.”

KKR menyatakan demikian dalam satu jawapan bertulis terhadap soalan lisan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) pada Persidangan Parlimen Dewan Rakyat, di sini.

Dalam soalannya Madius meminta Menteri KKR, menyatakan bilakah pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo jajaran Tobobon – Telipok – Bulatan Berungis akan siap, dan adakah pihak Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan elevated u-turn di hadapan Hospital Tuaran.

Menjawab persoalan berkaitan elevated u-turn, KKR memaklumkan asas reka bentuk jalan adalah berdasarkan kepada Laporan Impak Trafik yang telah dilakukan semasa di peringkat perancangan projek.

“Cadangan reka bentuk seterusnya dibuat berdasarkan skop dan terma rujukan yang telah diselaraskan di pihak JKR.

“Cadangan reka bentuk ini juga telah melalui Makmal Pengurusan Nilai dalam urusan penyediaan skop dan spesifikasi akhir sebelum ianya ditender.

“Laluan masuk ke Hospital Tuaran bagi aliran trafik dari Tuaran adalah melalui satu pusingan U yang terletak lebih kurang 400 meter dari simpang masuk Hospital Tuaran,” jelas KKR.

Menurut kementerian itu lagi, susur masuk nyahpecutan yang mencukupi juga disediakan untuk memastikan kenderaan masuk ke simpang hospital dengan selamat.

“Bagi kenderaan keluar dari Hospital Tuaran, satu susur pecutan juga disediakan untuk memastikan kenderaan keluar dapat menyusur masuk ke laluan utama dengan mudah dan selamat.

“Berdasarkan analisis dan pelaksanaan Makmal Pengurusan Nilai, pada masa ini tiada keperluan untuk melaksanakan elevated u-turn di hadapan Hospital Tuaran.

“Namun begitu, kementerian ini melalui JKR Sabah selaku Pegawai Penguasa Projek akan sentiasa meneliti dari masa ke semasa bagi melaksanakan langkah-langkah penambahbaikan untuk meningkatkan aspek keselamatan di sepanjang jajaran projek LPB Sabah yang sedang dibina,” tambah KKR.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles