Ewon sumbang RM30,000 tambahan bakul makanan mangsa banjir Penampang, RM20,000 untuk SM St.Micheal Penampang

PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick bersetuju memberikan sumbangan RM30,000 untuk pembelian tambahan 300 bakul makanan kepada penduduk kampung yang terjejas banjir di kawasan Penampang.

Advertisements

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata, ia adalah tambahan kepada 200 bakul makanan yang disediakan oleh Jawatankuasa Bencana Daerah Penampang.

“Saya meminta Pusat Khidmat saya menyediakan tambahan 300 bakul makanan melibatkan sumbangan sebanyak RM30,000 untuk dihantar ke rumah-rumah yang memerlukan bantuan dan penghantaran akan diselaraskan oleh jawatankuasa bencana,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media selepas lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang, di sini, hari ini.

Mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Penampang bertambah daripada 129 orang kepada 165 orang pada sebelah tengahari.

Semalam, dalam lawatan Ewon ke PPS Penampang, beliau menyampaikan bantuan segera RM20,000 kepada Jawatankuasa Bencana Daerah untuk keperluan berkaitan operasi menyelamat dan keperluan lain di pusat pemindahan bencana itu.

Ewon juga menyampaikan sumbangan RM20,000 kepada SM St.Micheal Penampang untuk pembaikpulihan dan pembersihan kawasan sekolah yang turut dilanda banjir.

“Selepas melawat mangsa banjir di PPS, saya meluangkan masa melawat sekolah lama saya, SM St Michael dan berjumpa dengan Pengetua dan guru-guru. Saya menyumbangkan RM20,000 untuk pembersihan/ pembaikpulihan kawasan sekolah ini,” katanya.

Kemudiannya Ewon melawat beberapa rumah penduduk kampung yang tidak sempat berpindah semalam dan melihat sendiri keadaan kerosakan akibat banjir terutama barangan dalam rumah.

“Mereka mengatakan ini adalah bencana banjir terburuk selepas kejadian banjir tahun 1999,” katanya yang menaiki kenderaan Kelab 4×4 WRS meninjau beberapa jalan di Penampang yang masih ditenggelami air.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang meluangkan masa melawat PPS dan beberapa kampung lain, seterusnya menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada setiap isirumah yang dipindahkan ke PPS.

“Ketua Menteri juga bersetuju menyalurkan peruntukan membekalkan kelengkapan dapur gas kepada keluarga yang tidak sempat berpindah. Ini akan diselaraskan oleh Jawatankuasa Bencana Daerah Penampang,” katanya.

Berkenaan dengan bekalan elektrik di Poliklinik Penampang, Ewon berkata, SESB telah diminta menghantar genset ke Poliklinik itu bagi memulihkan kembali bekalan elektrik di situ.

“Dalam tinjauan sehari saya di kawasan Penampang, saya mendapati masih banyak rumah yang terputus bekalan air dan elektrik. Stesen pam air Kasigui belum boleh membekalkan air pada ketika ini. Begitu juga beberapa pencawang elektrik SESB yang belum pulih.

“Pejabat Daerah dan jabatan-jabatan teknikal berkaitan akan menilai kerosakan infra-infra berkenaan akibat banjir,” katanya.

Ewon menghargai kerjasama semua pihak termasuk pimpinan kerajaan negeri, agensi-agensi dan jabatan-jabatan kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) atas semangat kerja berpasukan membantu mangsa banjir di kawasan Penampang.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles