Kerajaan berhemah tidak guna taktik alih perhatian tutup kelemahan – Warisan

KOTA KINABALU: Sebuah kerajaan yang berhemah tidak akan menggunakan taktik mengalih perhatian daripada masalah mereka dengan menyalahkan pihak lain semata-mata untuk menutup kelemahan dan kegagalan mereka.

Advertisements

Ketua Penerangan Parti Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman berkata dengan itu penjawat awam tidak patut dipersalahkan apabila pemimpin Gabungan Rakyat Sabah sendiri melakukan kesilapan kerana sebagai kakitangan kerajaan, mereka hanya bertugas untuk melaksanakan setiap polisi dan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan semasa yang memerintah.

“Selagi mana ia tidak melanggar prinsip profesionalisme, adalah menjadi tanggungjawab utama bagi penjawat awam untuk melaksanakan segala polisi, dasar dan arahan yang datang daripada pemimpin dalam kerajaan yang memerintah.

“Perlu diingat, Ketua Menteri, Menteri-Menteri dan Pembantu Menteri silih berganti setiap kali pilihanraya selesai bermakna polisi dan dasar silih berganti. Namun penjawat awam selaku jentera kerajaan hanya melaksanakan arahan yang datang daripada ketua mereka dan jika hasilnya tidak memuaskan, tanggungjawab terhadap kegagalan polisi itu tidak seharusnya dipikul oleh penjawat awam tetapi si pembuat dasar.

“Sekiranya pemimpin kerajaan tidak kompeten, janganlah menjadikan penjawat awam sebagai kambing hitam,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Azis berkata demikian ketika membidas kenyataan Presiden Parti Liberal Demokratik, Datuk Chin Su Phin yang menuduh pegawai-pegawai kerajaan tertentu sengaja bertindak bertentangan dengan kehendak Kerajaan Negeri kerana bersekongkol dengan Parti Warisan untuk menjatuhkan kerajaan GRS.

“Ia adalah kenyataan yang amat menghina tahap profesionalisme penjawat awam,” katanya.

Dalam kes yang melibatkan Peguam Besar Sabah, Azis berkata sebagai penjawat awam kanan beliau pastinya akan memberi taklimat dan menerima arahan daripada Ketua Menteri sebelum melaksanakan kerja.

“Selepas Ketua Menteri diberi taklimat, arahan selanjutnya akan dikeluarkan oleh beliau mengenai tindakan yang perlu diambil. Oleh itu, dalam situasi seperti kes pelantikan Tengku Fuad Ahmad, adalah wajar Ketua Menteri yang dipertanggungjawabkan sepenuhnya kerana beliau adalah ketua eksekutif kerajaan negeri dan semua arahan datang daripada Ketua Menteri.

“Adalah amat ganjil dan mustahil jika Peguam Besar bertindak tanpa memberikan taklimat kepada Ketua Menteri terlebih dahulu. Saya yakin bahawa Peguam Besar tidak akan bertindak sebodoh itu dengan mengeluarkan surat arahan yang melibatkan kepentingan dan tuntutan Sabah tanpa mendapat arahan yang jelas daripada Ketua Menteri,” katanya.

Azis turut mempertikaikan bagaimana Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan jemaah menteri tidak tahu mengenai pelantikan Tengku Fuad sebagai wakil kerajaan negeri di mahkamah kerana Peguam Besar juga adalah ahli dalam mesyuarat majlis jemaah menteri Sabah yang diadakan hampir setiap minggu.

Azis berkata dengan menuduh penjawat awam melakukan sabotaj kerajaan kerana mereka didakwa penyokong Warisan atau UMNO adalah amat tidak bertanggungjawab, tidak berasas, biadap, dan bersifat kebudak-budakan.

“Tuduhan sebegini memperkecilkan tahap profesionalisme penjawat awam secara keseluruhannya.”
Menurutnya, apa yang jelas adalah GRS cenderung kepada mempersalahkan dan menuding jari kepada pihak lain daripada mencari penyelesaian.

“Malah hari ini mereka sanggup mempersalahkan penjawat awam pula. Sebelum ini, setiap isu seperti masalah air, elektrik, jalan raya dan sebagainya, kononnya masalah yang di warisi daripada kerajaan terdahulu walhal sebahagian besar pemimpin dalam kabinet negeri hari ini datang daripada 25 tahun pemerintahan kerajaan yang terdahulu yang dimaksudkan.

Nampaknya, penjawat awam juga tidak terlepas daripada mangsa “tudingan” para pemimpin GRS yang pada hakikatnya memang gagal dalam mengurus banyak perkara dan masalah di Sabah.

“Kerajaan berhemah sepatutnya membina satu persekitaran yang bersifat kolaboratif dan saling membantu untuk memastikan rakyat mendapat perkhidmatan awam yang cekap dan efisyen.

“Sesungguhnya saya amat bersimpati dengan penjawat awam yang cuba di kambing hitamkan,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles