KOTA KINABALU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia Negeri Sabah (BERSATU Sabah) terkejut dengan satu laporan berita yang bertajuk “Bersatu Pertimbang Kerjasama Dengan GRS” yang dikeluarkan oleh Harian Ekspres bertarikh 6 Mei 2024.
Ketua Armada BERSATU Sabah Muhammad Affan Jumahat berkata, laporan berita ini sangat tidak bertanggungjawab, mengelirukan dan sengaja mensensasikan perkara yang tidak pun disebut Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin semasa sesi sidang akhbar pada Ahad lalu dan adalah ditegaskan juga bahawa perkara berkenaan tidak dibincangkan pun dalam Konvensyen BERSATU Sabah.
Katanya, bahkan, dalam sidang akhbar itu, Tan Sri Muhyiddin telah menegur wartawan yang mengulangi soalan, apakah BERSATU pertimbangkan berkerjasama dengan GRS sebanyak dua kali – sebagai ayat yang keluar dari mulut wartawan itu sendiri dan bukannya jawapan daripada Presiden BERSATU.
“Kenyataan yang dikeluarkan Tan Sri Muhyiddin adalah “PN, BERSATU sah bertanding dalam PRN Sabah akan datang bersama rakan komponen yang lain menggunakan lambang Perikatan Nasional,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Muhammad Affan berkata, dalam soal kerjasama politik, BERSATU Sabah mengambil pendirian sebarang keputusan berkait halatuju parti serta persiapan berdepan pilihan raya negeri akan dipertimbangkan, dibincang serta diperhalusi sebulat suara bersama pimpinan negeri dan nasional.