KOTA KINABALU: Ketua Wanita Gagasan Rakyat Likas, Halizah Din menyeru semua pihak untuk menghentikan permainan politik tidak matang dan fokus kepada usaha kerjasama membantu rakyat.
“Sekarang yang perlu dan sangat penting untuk semua lakukan adalah bekerjasama ramai-ramai untuk cari penyelesaian kepada masalah rakyat, bukan berpolitik secara tidak matang dan menyalahkan orang lain.
“Perlu diingat, semua yang ada hari ni pada asasnya dulu, adalah bersama, dalam satu acuan.
“Jadi kenapa perlu melihat perbezaan sekarang dan menunding jari, menyalahkan, bahkan kadang kala sampai menjadi seolah-olah hasutan dan fitnah.
“Cukup-cukuplah, kita di penghujung Ramadan ini wajar untuk fokus mengejar segala kebaikan dengan saki baki masa bulan mulia yang ada ini,” katanya.
Beliau berkata semasa Program Ziarah Ramadan di Taman Perumahan Keramat di sini pasa Ahad.
Turut hadir sama Pengerusi Biro Kesihatan Wanita Gagasan Rakya Sabah, Dr. Davina Datuk Markus Majihi, ajk Biro Kesihatan, Aween Shafinas dan ahli Pemuda cawangan Gagasan Rakyat bahagian Likas.
Menurut Halizah yang juga merupakan Exco Wanita Gagasan Rakyat itu, masalah tidak akan selesai dengan menuduh dan menunding jari menyalahkan satu pihak.
“Satu jari kita tunjuk salah orang lain, ingatlah bahawa empat jari yang digenggam tunjuk diri kita sendiri.
“Sebab itu, sebaik-baiknya, ambil iktibar dan keberkatan Ramadan dengan kukuhkan silaturahim, bukan bertelagah.
“Pihak sana perlu sedar, sebelum kerajaan sekarang (Kerajaan Negeri pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor), dulu-dulu pun masalah yang sama berlaku masa pentadbiran mereka.
“Dan kepada beliau yang saya hormati, Datuk Bung Moktar, saya masih menghormati kepimpinan beliau namun saya terkilan kerana setelah beliau tidak menjadi Timbalan Ketua Menteri kerana ulah pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang ingin memanipulasi dan memporak-perandakan kepimpinan negeri, beliau hilang jawatan tersebut dan akhirnya, jadi seperti sekarang.
“Alangkah bagusnya jika dulu, sebelum apa yang berlaku ini berlaku, kita berfikir panjang sebelum membuat sesuatu keputusan,” katanya lagi.
Tambah Halizah lagi, usaha Kerajaan Negeri kini adalah usaha berterusan dan tidak pernah sekalipun kepentingan negeri diabaikan oleh Hajiji.
“Saya yakin dan beliau (Hajiji) bekerja untuk menyampaikan dan menyempurnakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan.
“Andai kata kita tidak sehaluan dan tidak sebulu, sekurang-kurangnya jangan jadi duri dalam daging lebih-lebih lagi dengan kemelut masalah semasa yang dihadapi negeri.
“Cuaca panas, kebakaran hutan, jerebu, timbul pelbagai penyakit dan kepayahan kepada semua.
“Alangkah bagusnya jika semua bekerjasama untuk atasi masalah, bukan bertelagah dan mencari masalah,” katanya lagi.
Halizah turut menasihati semua pihak untuk peka dan berjaga-jaga dengan semua keadaan terutamanya media sosial kerana media sosial kini seolah-olah menjadi platform kepada sebaran maklumat yang meragukan.
“Media sosial membantu jika kita manfaatkan untuk kebaikan dan tujuan yang berfaedah, namun ia menjadi bahaya jika penggunaannya adalah bagi tujuan menghasut, menimbulkan kekacauan dan boleh membawa fitnah.
“Sebagai komuniti masyarakat matang dan celik, wajar untuk kita jadi pengguna media sosial yang bijak, gunakan sumber rujukan sahih serta diiktiraf benar jika ingin mengetahui sesuatu berita.
“Jangan jadi pahlawan papan kekunci, berani di belakang tabir, kerana apa, kerana jika anda tertangkap bersalah menjadi penghasut atau pengguna media sosial yang tidak bermoral, pastinya anda sendiri yang harus menanggung malu dan hukuman yang bakal dikenakan kelak,” ujar beliau lagi.
Dalam lawatan itu, Halizah turut menyampaikan sumbangan sebuah kerusi roda daripada Ketua Menteri kepada warga emas yang menerima sebuah kerusi roda.
Selain itu, Halizah turut menyampaikan sumbangan peribadi beliau berupa bakul makanan serta duit raya kepada tiga orang asnaf.