Armizan patut turun padang pantau harga barang bukan cari publisiti murahan – Jeffrey Nor

KOTA KINABALU : Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali perlu fokus kepada arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar semua menteri turun padang untuk meninjau harga dan kuantiti barangan yang dijual di pasaran.

Advertisements

Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffrey Nor Mohamed berkata, sepatutnya beliau perlu mengelak menyerang Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sekali gus hanya dilihat sengaja mencari publisiti murahan.

Katanya, kelihatan seolah-olah Armizan memperlekehkan arahan Perdana Menteri sekali gus hanya meluangkan lebih banyak masa kepada hal politik berbanding gagal melihat sendiri situasi kos sara hidup dihadapi rakyat.

“Ketika ini rakyat berhadapan dengan kenaikan harga barangan menjelang dengan musim perayaan Hari Raya Aidilfitri, tetapi menterinya asyik menunding jari mencari kesalahan kepada orang lain.

“Armizan asyik menyalahkan Bung Moktar berkaitan didakwa gagal menyelesaikan banyak isu ketika menjadi Menteri dan Timbalan Ketua Menteri Sabah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jeffrey Nor merupakan Ketua UMNO Bahagian Putatan berkata, Armizan juga menyebut rata-rata pemimpin di Sabah adalah orang-orang lama sekali gus merupakan pemain lama dalam arena politik Sabah.

“Armizan sendiri pura-pura lupa, apa yang ada di dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta Gagasan Rakyat Sabah juga merupakan orang politik lama juga pernah bersama-sama UMNO dan Barisan Nasional (BN) suatu ketika dahulu.

“Adakah Armizan ingin tahu mengapa Bung Moktar keluar dari kerajaan sebab beliau (Bung Moktar) tahu GRS tidak ada hala tuju untuk bangunkan negeri Sabah,” jelas Jeffrey Nor.
Menurutnya, sebagai Timbalan Ketua Menteri Bung Moktar tidak mempunyai kuasa mutlak manakala semua kelulusan adalah tertakluk kepada Ketua Menteri dan Menteri Kewangan Sabah.

“Ketika ini Kementerian Kewangan Sabah dilihat mengendalikan sendiri konsesi Jalan bernilai RM165 juta dalam tempoh satu tahun.

“Seharusnya soal jalan mestilah di bawah pengendalian JKR Sabah namun kerajaan GRS mempunyai keistimewaan tersendiri berikutan Kementerian Kewangan Sabah boleh mengendalikannya sendiri,” kata Jeffrey Nor.

Secara teorinya, tidak pernah berlaku di dalam dunia MOF boleh secara sendiri mengendalikan konsesi jalan raya kecuali hanya terdapat serta berlaku di MOF Sabah.

“Ini merupakan punca mengapa Bung Moktar tidak tahan dengan gelagat serta perangai ‘Gila’ GRS pada ketika itu,” ujar Jeffrey Nor.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles