KOTA KINABALU : Komitmen ditunjukkan Syarikat Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) perlu menjadi contoh kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta syarikat korporat lain dalam menganjurkan Program Amal Berbuka Puasa di seluruh negeri ini.
Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Bahagian Kudat, Asmey Ruddy berkata, komitmen seperti bukan mudah lebih-lebih pemilik syarikat ini bukan dalam kalangan mereka beragama Islam namun memilih komited membantu mereka yang kurang berkemampuan di sepanjang bulan Ramadan.
Katanya, selepas ini mungkin ada beberapa syarikat korporat lain akan bersedia bersama-sama menjayakan beberapa program anjuran agensi kerajaan termasuk bekerjasama rapat bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM).
“Kita sangat menghargai segala usaha KTC ini, sekali gus patut dicontohi oleh mana-mana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berkemampuan untuk menyalurkan sumbangan sempena bulan Ramadan.
“Difahamkan sebanyak 25 bahagian telah selesai mengadakan program amal berbuka puasa ini bermula Parlimen kalabakan sehingga di Tuaran.
“Semoga selepas ini akan lebih ramai mereka yang berkemampuan tampil terlibat sama dalam program ini di seluruh Sabah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Asmey merupakan Ahli Dewan Belia Sabah Dewan Undangan Negeri (DUN) Pitas berkata, selepas ini beliau mengalu-alukan agar GLC membuat perancangan awal bagi membolehkan Pemuda Gagasan Rakyat dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terlibat sama dalam program perayaan utama termasuk Hari Raya Aidilfitri.
“Kalau boleh untuk tahun hadapan, kita mencadangkan agar adalah lebih baik untuk berkerjasama dengan Pemuda Gagasan Rakyat di setiap kawasan, agar lebih ramai dapat dibantu terutama dalam menjelangnya Aidilfitri.
“Kita pun memahami bukan senang untuk sesebuah syarikat mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi bagi menyumbang kepada setiap program yang dianjurkan di negeri ini. Namun jika lebih ramai syarikat yang tampil kemungkinan kos tersebut boleh dijayakan,” jelas Asmey.
Menurutnya, langkah KTC bekerjasama UPPM Sabah dilihat selaras dengan visi dan misi syarikatnya bagi memastikan lebih ramai dapat dibantu di sepanjang bulan Ramadan ini.
“Kos disumbangkan KTC sudah tentu besar namun apabila melihat kepada kepuasan golongan yang menerima bantuan jelas terpancar kebahagian mereka.
“Sekali lagi syabas dan tahniah Ketua Pengarah Eksekutif Kim Teck Cheong Consolidated Berhad, Datuk Dexter dan uppm negeri atas usaha murni ini,” tambahnya.