KOTA KINABALU : Jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar direkodkan sehingga Mac 2024 adalah 13,179 sekali gus menunjukkan penurunan berbanding 22,510 KIR direkodkan pada tahun sebelumnya.
Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Azizah Mohd Dun berkata, statistik ini berdasarkan data pemutihan dilakukan Pejabat Pembangunan Negeri Sabah melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU,JPM).
Katanya, usaha pemutihan masih berjalan di seluruh negeri serta tidak akan berhenti sehinggalah kerajaan negeri mampu menoktahkan miskin tegar di negeri ini.
“Kita semua maklum isu kemiskinan diwarisi daripada pentadbiran terdahulu. Ini realitinya dan perlu diterima. Untuk menoktahkan kemiskinan, ia tidak dapat dilakukan dalam satu malam sahaja.
“Kita kena menerima hakikat ini, sebab itulah usaha membasmi kemiskinan sentiasa dan akan terus menjadi satu perjuangan yang diutamakan oleh kerajaan negeri melalui pendekatan serta Hala Tuju Kerajaan Negeri melalui Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Azizah berkata, sikap pembangkang memainkan isu kemiskinan adalah sekadar untuk meraih populariti demi kepentingan politik mereka.
“Pembangkang terutama WARISAN seakan-akan sengaja tidak mahu tahu apa yang telah dan sedang dilakukan kerajaan negeri ketika ini. Kononnya kita menafikan data Persekutuan dan itulah dijadikan bahan untuk mengelirukan rakyat.
“Tetapi hakikatjya mereka tidak tahu apa-apa. Kerajaan negeri dipimpin Datuk Seri Panglima Hajiji Noor tidak bising, sebaliknya hanya bekerja dan isu kemiskinan antara yang diberi tumpuan,” jelas Azizah.
Dalam masa sama, pihaknya tidak menafikan data itu tetapi memandangkan proses pemutihan sedang dijalankan, sudah pasti jumlahnya tidak lagi sama.
“Namun, sama atau tidak, berbeza atau tidak (statistik) kemiskinan, itu bukan persoalannya. Ia kerana apa yang lebih penting adalah usaha untuk menangani masalah ini. Inilah bezanya kerajaan hari ini dengan pihak pembangkang yang hanya pandai memainkan pelbagai isu demi untuk meraih sokongan rakyat di negeri ini,” jelas Azizah.
Menurutnya, antara usaha Sekretariat SMJ termasuk menyediakan 1,500 Rumah Mesra SMJ setiap tahun sebagai inisiatif membantu rakyat kurang berkemampuan disamping pemberian bantuan modal perniagaan serta peluang pekerjaan kepada anak tempatan.
“Saya berharap Ketua Wanita Warisan, Norfaizah Chua agar tidak hanya pandai bercakap dan cuba mengelirukan rakyat sahaja. Cuba tengok apa yang Warisan buat ketika memerintah sejak 2018 hingga 2020. Apa tindakan untuk tangani kemiskinan.
“Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jelas menunjukkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah menurun ketika pemerintahan Warisan daripada 1.5 peratus pada 2018 kepada -9.1 peratus pada 2020,” tambah Azizah.
Belau menambah, KDNK meningkat daripada 1.5 peratus pada 2021 kepada 3.7 peratus pada 2022 di bawah kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Ini jelas menunjukkan kadar pembangunan meningkat sejak GRS ambil alih kerajaan. Kerajaan bukan saja berusaha menangani isu kemiskinan tetapi berusaha merancakkan pembangunan terutama meneroka sumber baharu iaitu menerusi Ekonomi Biru,” ujar Azizah.
GRS berjaya turunkan KIR 13,179 orang berbanding tahun sebelumnya -Azizah
Advertisements