Hajiji cipta sejarah KM pertama ambil inisiatif beri subsidi tiket penerbangan kepada semua pelajar Sabah – Zaki Susanto

TAWAU: Inisiatif kerajaan negeri Sabah pimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang memberikan bantuan khas sekali beri atau ‘one off’ sebanyak RM600 seorang merupakan khabar amat menggembirakan buat sekitar 18,000 pelajar dari negeri ini yang sedang melanjutkan pelajaran di Semenanjung, Sarawak dan Labuan.

Advertisements

Mengambilkira harga tiket penerbangan yang tinggi khasnya ketika musim perayaan, inisiatif yang julung-julung kali diperkenalkan itu amat membantu pelajar untuk kembali ke pangkuan keluarga dan pastinya turut memeriahkan lagi sambutan 1 Syawal tahun ini.

Aktivis masyarakat, Mohd. Zaki Harry Susanto berkata ini membuktikan keprihatinan kerajaan negeri Sabah terhadap kepentingan golongan pelajar, sekaligus gambaran ketelusan Ketua Menteri yang sentiasa memahami denyut nadi rakyat, terutama golongan pelajar.

Ini kerana, katanya inisiatif kali ini tidak hanya dihadkan kepada penganut agama Islam semata-mata tetapi turut dipanjangkan kepada semua pelajar yang berasal dari negeri Sabah, tanpa mengira agama atau kepercayaan.

Zaki berkata demikian sebagai mengulas pengumuman yang dibuat oleh Ketua Menteri Sabah baru-baru ini.

Tambah Zaki lagi, sungguhpun memakan biaya yang besar iaitu sekitar RM10 juta, ia tidak akan memadamkan niat murni kerajaan Sabah untuk terus mengutamakan rakyat sesuai dengan semangat ‘Sabah Maju Jaya’.

“Kita perlukan kerajaan dan kepimpinan negeri yang sentiasa membela nasib serta mengutamakan kesejahteraan rakyat.

“Saya yakin selepas ini kerajaan negeri Sabah akan terus mengambil pelbagai inisiatif lain yang boleh meringankan beban rakyat Sabah,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor sewaktu majlis berbuka puasa bersama lebih 1,000 orang pelajar IPT Sabah di Pulau Pinang mengumumkan bantuan subsidi tiket penerbangan secara ‘one-off’ bagi pelajar yang sedang melanjutkan pelajaran di Semenanjung, Sarawak, dan W.P Labuan dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM10 juta.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles