KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah tidak akan menjalin kerjasama dengan Parti Warisan (Warisan) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, setakat ini tiada ada keperluan untuk bekerjasama dengan Warisan sekali gus tidak mahu bekerjasama dengan mereka.
Katanya, ini kerana pembangkang menjadikan sasaran kejayaan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) GRS-Pakatan Harapan (PH) Plus dicemburui mereka.
“Mungkin itu adalah tugas mereka (pembangkang) untuk terus menjadi pembangkang, di dalam fikiran mereka hanya untuk menidakkan sebarang usaha baik yang dilakukan oleh Kerajaan GRS-PH Plus.
“Sejak menjadi kerajaan pada tahun 2020 dan sekarang pada tahun 2024 kita lihat peningkatan ekonomi negeri Sabah semakin menunjukkan hala tuju yang positif,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Nizam yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, selepas menjadi kerajaan pada tahun 2020 kelihatan terdapat peningkatan ekonomi negeri Sabah semakin menunjukkan hala tuju yang positif.
“Sangat jelas kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menuju ke arah pembelaan rakyat dan membangunkan Sabah dengan lebih holistik.
“Ini termasuk penekanan terhadap tiga sektor utama melibatkan perindustrian, pelancongan dan kelestarian kehijauan dalam kita meneroka contohnya dalam sektor tenaga yang diperbaharui.
“Selain kita cuba untuk membasmi kemiskinan dengan mengadakan program-program menggalakkan supaya syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat – syarikat pelabur untuk mengambil anak-anak Sabah sebagai pekerja di syarikat tersebut,” jelas Nizam.