SANDAKAN: Setiap ahli parti dan pemimpin perlu bermuhasabah, mendalami hati masing-masing untuk membawa hala tuju, iltizam serta azam baharu perjuangan UMNO khsusunya di Sabah setelah melalui pelbagai episode suka dan duka sepanjang 33 tahun UMNO bertapak di Sabah.
Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Suhaimi Nasir berkata,pemimpin dan ahli parti perlu mengubah cara dan langkah politik seiring dengan aru perdana biarpun terpaksa menongkah arus .
“Cara, corak dan langkah politik sudah semestinya jauh berbeza dari sebelum ini. Landskap politik yang baharu menuntut kita berubah seiring dengan arus perdana walaupun terpaksa menongkah arus.
“Kita berada di persimpangan penuh ranjau dan berduri. Intipati perjuangan masih sama tetapi perlu bersifat inklusif, bukan rasis, berintergriti, isu atau dasar berorentasikan rakyat yang sebenarnya adalah salah satu cara untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti UMNO,” katanya ketika ditemui disini pada Rabu.
Beliau yang juga Ketua UMNO bahagian Libaran berkata demikian ketika diminta mengulas kedudukan UMNO di Sabah selepas 33 tahun parti itu bertapak di Sabah,
Sebelum itu, Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran turut menerima kunjungan hormatPertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Gum-Gum dan juga kunjungan dari pemimpin-pemimpin masyarakat di pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Libaran.
Suhaimi berkata, sepanjang tempoh tersebut banyak pengalaman suka dan duka yang dilalui oleh UMNO Sabah yang seharunya mematangkan kepimpinan serta UMNO Sabah di semua peringkat untuk terus melangkah ke hadapan
“Kita berada dalam situasi menongkah arus untuk mendapani cabaran politik Baharu apabila UMNO di Sabah diletakkan sebagai pembangkang di peringkat negeri tapi di peringkat pusat kita mendokong Kerajaan Perpaduan. Kita tiada pilihan lain, kita hanya ada satu jalan (do or die way), jalan sehala yang tiada pusingan U untuk meneruskan perjuangan membela rakyat,“ katanya.
Menurut Suhaimi lagi, dalam setiap diri dan jiwa ahli parti perlu bermuhasabah, mendalami prinsip perjuangan bagi membawa hala tuju, iltizam dan azam baharu perjuangan parti keramat yang sama kita sayangi,” katanya .
Sehubungan dengan itu Suhaimi turut mengingatkan ahli-ahli UMNO di negeri ini dengan menjadi persidangan tahunan UMNO yang akan mula bermesyuarat di peringkat cawangan-cawangan pada 22 April hingga 2 Jun, mesyuarat bahagian dari 21 Jun hingga 29 Julai akan datang sebagai medium penyatuan untuk membangkitkan semangat bagi menghadapi PRN akan datang.
“Kita jaya mesyuarat cawangan-cawangan dan bahagian-bahagian dengan semangat baharu, merapatkan saf kemimpinan yang ada dan yang paling penting mengatur strategi dan persediaan parti untuk berhadapan dengan PRN akan datang, jika kita Bersatu, berkerja keras tidak mustahil kejayaan milik UMNO,” kata Suhaimi.