KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah bertekad untuk mengetengahkan Kawasan DUN Inanam sebagai salah satu hab pelancongan terbaik di Sabah.
Menterinya Datuk Christina Liew berkata
ini kerana DUN Inanam mempunyai kawasan yang cantik yang mana sebahagian besar kawasan berada dalam Crocker Range Biospera Reserve (CRBR) yang menurutnya sangat berpotensi untuk dimajukan sebagai pusat pelancongan baik secara individu mahupun secara komuniti.
Antara tarikan pelancong sedia ada di DUN Inanam ialah Air Terjun Kionsom, Perkampungan Budaya Mari-Mari dan pusat percutian Kokol Farmstay.
Menurutnya di kawasan DUN Inanam juga, pengunjung berpeluang melihat pertumbuhan pembangunan yang pesat kebelakangan ini.
Katanya kawasan DUN Inanam menjadi tumpuan para pelabur hartanah untuk melabur.
Christina berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Tahun Baru Cina peringkat DUN Inanam di Kolombong, hari ini.
Turut hadir Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Merangkap ADUN Inanam Peto Galim dan Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Merangkap ADUN Likas Tan Lee Fatt.
Beliau mengajak rakyat menghayati nilai-nilai ketabahan, keberanian, dan perpaduan yang dilambangkan oleh sang naga dan zodiak Cina, yang menandakan kemakmuran, nasib baik dan tenaga positif.
Christina turut menyeru masyarakat pelbagai kaum dan agama di kawasan DUN Inanam supaya terus menyokong usaha kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan untuk membawa negara ke era kegemilangan.