Presiden PISAAN sertai KDM, mahu kukuhkan parti itu di Bengkoka

PENAMPANG: Presiden Persatuan Rungus Pitas Sabah (PISAAN), Richard Mazagi, hari ini, mengumumkan menyertai parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

Advertisements

Richard bersama beberapa pemimpin masyarakat dan penyokongnya dari Bengkoka, Pitas hadir ke Ibu Pejabat KDM, di sini, untuk menyerahkan borang keahlian yang diterima sendiri Presiden parti itu, Datuk Peter Anthony.

Peter berkata, kemasukan Richard bersama penyokongnya menandakan bermulanya perjuangan KDM di Pitas, khususnya kawasan Bengkoka.

Katanya, kehadiran KDM di Bengkoka meneruskan lagi kesinambungan parti itu dalam misi mereka untuk membantu, meningkat serta memartabatkan rakyat di negeri ini.

“Kita mengalu-alukan kemasukan, bukan saja pemimpin-pemimpin, malah rakyat di kawasan Pitas, khususnya di Bengkoka ke dalam parti KDM.

“Seperti semua sedia maklum, KDM ini ditubuhkan sebagai platform untuk memperjuangkan isu-isu yang dekat di hati rakyat.

“Kemasukan Richard yang akan mengemudi KDM Bahagian Kudat menandakan bermulanya satu lagi pasukan yang akan membawa perjuangan KDM,” katanya ketika menerima kemasukan Richard bersama penyokongnya ke dalam KDM, hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden KDM yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau, Datuk Wetrom Bahanda, Ahli Majlis Tertinggi (AMT) KDM, Datuk Alimudin Kaida dan pemimpin KDM yang lain.

Peter yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap turut berharap, KDM Pitas, khususnya di Bengkoka akan memperkukuhkan kedudukan parti itu, terutama dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Katanya, beliau yakin rakyat di Bengkoka akan menerima perjuangan KDM dan tidak mustahil kawasan itu akan menjadi kubu kuat parti itu kelak.

“Bagaimanapun, semua ini hanya akan berlaku jika kepimpinan KDM Bahagian Pitas bekerja keras dan bersatu padu,” katanya.

Sementara itu, Richard berterima kasih kepada Peter dan pimpinan KDM yang lain kerana memberi kepercayaan kepada beliau untuk mengemudi parti berkenaan di Pitas.

“Saya akan gunakan segala pengalaman saya dan berikrar akan memperkuatkan KDM di Pitas, khususnya Bengkoka.

“Saya kalau bekerja tidak kira masa, saya bertekad akan kerja keras untuk menyebarkan perjuangan parti KDM ini di Bengkoka,” katanya.

Selain Presiden PISAAN, Richard sebelum ini juga pernah menjadi pemimpin beberapa parti termasuk Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Warisan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles