KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (KDM) difahamkan sedang mengintai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu dan Tamparuli untuk ditandingi parti itu, menurut satu sumber yang rapat dengan kepimpinan KDM.
Sumber KDM membayangkan parti itu hampir pasti akan bertanding di kedua-dua DUN tersebut yang merupakan kubu kuat Parti Bersatu Sabah (PBS) yang menganggotai GRS.
DUN Kiulu dan Tamparuli kini masing-masing diwakili oleh Datuk Joniston Bangkuai dan Datuk Jahid Jahim.
“Jika tiada aral melintang, kita akan tanding DUN Kiulu dan Tamparuli. Kita akan memberi peluang seluasnya kepada rakyat Kiulu dan Tamparuli, termasuk golongan muda untuk memilih wakil rakyat mereka selaras dengan prinsip demokrasi. KDM hanya menawarkan pilihan kepada pengundi DUN Kiulu dan biarlah rakyat membuat keputusan,” kata sumber itu kepada Jesselton Times.
Sumber itu berkata walaupun KDM dianggap sebagai “underdog” atau parti kerdil, namun ia tidak mematahkan semangat mereka untuk bekerja keras bagi mencipta kejutan seperti yang berlaku di Parlimen Kota Marudu pada PRU-15 lepas yang menyaksikan calon KDM Datuk Wetrom Bahanda tanpa diduga berjaya menumbangkan presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.
“Ia bukanlah sesuatu yang mudah…namun dalam arena politik tiada yang mustahil apatah lagi dengan penyertaan pengundi muda. Pada penghujung hari, rakyat lah yang menjadi penentu,” kata sumber itu.
Antara pemimpin KDM yang disebut-sebut sebagai bakal calon DUN Kiulu ialah naib presiden KDM yang juga bekas pemain bolasepak Sabah, Henry Saimpon.
Henry merupakan anak jati Kiulu dari kampung Bongol.
Bagi DUN Tamparuli, KDM dijangka mempertaruhkan bekas Prof Madya Universiti Malaysia Sabah (UMS yang juga Setiausaha Agung KDM, Dr. Gaim James Lunkapis.
Difahamkan juga, KDM pimpinan Datuk Peter Anthony akan melakukan “roadshow” di kawasan-kawasan DUN yang sudah dikenalpasti dalam masa terdekat bagi memantapkan lagi persediaan menghadapi PRN.
Sebelum itu, portal berita Free Malaysia Today (FMT) melaporkan bahawa di
sebalik spekulasi KDM bakal bergabung dengan Barisan Nasional (BN) serta Parti Warisan Sabah (Warisan) di blok pembangkanl pada PRN Sabah, parti itu dilihat masih mengambil pendirian ‘tunggu dan lihat’.
Sumber parti itu memberitahu FMT ini kerana pihaknya masih membuat penilaian kerjasama strategik selain yakin mampu menjadi ‘kingmaker’ berdasarkan kekuatannya di pedalaman dan bahagian utara Sabah.
Menurutnya, KDM mempunyai sokongan kuat di bahagian pedalaman dan bahagian utara Sabah, dan percaya parti itu berpeluang menang di sekurang-kurangnya tujuh kerusi, sekali gus menjadi ‘kingmaker’ semasa pembentukan kerajaan negeri nanti.
KDM juga percaya lebih banyak kerusi Kadazan Dusun Murut bakal ditawan berdasarkan sentimen semasa.
Sebelum ini, presiden Warisan Datuk Mohd Shafie Apdal membayangkan kemungkinan parti itu akan bekerjasama dengan UMNO bagi menghadapi PRN.
Tempoh DUN Sabah yang mempunyai 73 kerusi akan tamat pada Oktober 2025, namun PRN17 dijangka diadakan lebih awal, selepas Ketua Menteri Hajiji Noor membayangkan ia mungkin diawalkan pada tahun ini.