KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di sini, hari ini.
Dalam pertemuan tersebut, Ewon telah mengemukakan cadangan mekanisme pembayaran semula 40 peratus hasil persekutuan yang dikutip di Sabah sepertimana termaktub dalam Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi turut ditemani oleh Setiausaha Agung UPKO Datuk Nelson Angang, Ketua Pemuda Felix Joseph Saang dan Timbalan Ketua Penerangan Rowindy Lawrence.
Sebelum ini, Ewon telah mengadakan satu perbincangan meja bulat yang dihadiri oleh mereka yang mempunyai profesion dan kepakaran dalam isu ini pada 19 Disember tahun lepas berkenaan cadangan mekanisme tersebut.
Mekanisme tersebut perlu dimuktamadkan menjelang Julai tahun ini.