Konsep Malaysia Madani semakin difahami

KOTA KINABALU: Konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan kerajaan kini semakin difahami dan diterima oleh oleh masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.
Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Datuk Sapawi Hj Ahmad, berkata ia terhasil menerusi program jelajah Forum Malaysia Madani yang diadakan pertubuhan itu di seluruh negeri sepanjang tahun lalu.
Beliau berkata konsep berkenaan sudah diketengahkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 1986 sebelum beliau menjadi Perdana Menteri lagi.
Katanya, walaupun dianggap baru, konsep Malaysia Madani kini semakin difahami oleh masyarakat secara keseluruhan.
“Kini adalah cabaran bagi kita semua bagaimana untuk merealisasikannya dalam konteks sosial, politik, ekonomi dan kehidupan untuk membangun masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan selepas Program Wacana Pemikir Malaysia Madani dan Pasca Normal' di sini semalam. Ceramah disampaikan oleh Pengarah Institut Pemikiran Islam Antarabangsa, Asia Timur dan Asia Tenggara (IIIT), Prof. Dato’ Dr. Mohamad Fauzan Noordin. Sesi dipengerusikan oleh Pengerusi Majlis Penasihat Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Amin Senin. Sapawi berkata setiap program Forum Malaysia Madani yang dianjurkan pihaknya dihadiri antara 700 hingga 1,000 orang, sekali gus membolehkan penerangan sampai ke peringkat akar-umbi. "Hakikatnya, Malaysia Madani ini merupakan dasar yang terangkum secara menyeluruh bagi membina masyarakat bertamadun. "Dalam konteks kepelbagaian, saya melihat Sabah dan Sarawak sebagairole model’ penerima masyarakat yang berbilang kaum,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Sapawi berkata USIA sebagai badan bukan kerajaan (NGO) komited memainkan peranan dalam memacu agenda nasional untuk memasyarakatkan idea serta menterjemah konsep Malaysia Madani dan Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam kehidupan masyarakat.
Katanya, ia digerakkan secara bersama dengan melibatkan pelbagai gabungan sama ada pihak jabatan dan agensi kerajaan mahupun NGO lain.
Beliau berkata USIA menghargai sokongan kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dalam menjayakan program berkenaan.
Sehubungan itu, USIA dengan kerjasama Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas), Majlis Agama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan rakan strategik lain telah melaksanakan pelbagai libat urus.
Antara yang telah dilaksanakan USIA adalah penganjuran Forum Malaysia Madani di enam zon seluruh Sabah, bermula di Kota Kinabalu (Zon Pantai Barat Selatan), Kudat (Pantai Barat Utara), Sipitang (Pedalaman Bawah), Keningau (Pedalaman Atas), kemudian Sandakan (Zon Sandakan) dan diakhiri di Tawau (Zon Tawau).
“Ini merupakan usaha kita memberi penerangan dan kefahaman kepada rakyat tentang agenda yang dibawa oleh kerajaan Madani,” katanya.
Dalam konteks memperkasa pendidikan, Sapawi berkata, pembinaan Pusat Latihan Dakwah (PLD) USIA – AlBukhary di Kg Marasinsim Kota Marudu merupakan suatu komitmen berterusan.
Selain itu, ikatan persefahaman (MoU) USIA bersama Institut Kemahiran Islam Darul Ridzuan (IKDAR) juga memberi fokus kepada pendidikan masyarakat yang menjadi wadah kepada anak-anak muda khususnya lepasan tahfiz dan pondok bukan arus perdana di negeri Sabah.
“Pusat pengajian ini akan melahirkan graduan Tahfiz TVET dan Huffaz Teknokrat untuk anak-anak Sabah,” katanya.

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles