KOTA KINABALU : Rakyat Sabah perlu memilih pemimpin yang sebenarnya bukannya melompat ke satu parti sekali gus hanya ‘gah’ kepada nama parti baharu tetapi dipimpin muka lama.
Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffrey Nor Mohamed berkata, majoriti pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) terdiri dari muka lama sekali gus sudah terbukti gagal menyelesaikan isu rakyat termasuk kemudahan infrastruktur jalan raya, bekalan air dan elektrik.
Katanya, adakah generasi muda masih mahu memilih serta dipimpin oleh mereka yang tidak mempunya pendirian apabila mengamalkan sikap melompat daripada satu parti ke parti yang lain.
“Semua maklum Gagasan Rakyat hanya gah pada nama parti baharu manakala dalam sistem pengurusan pentadbirannya terbukti masih berada pada tampuk yang lama.
“Ketika ini negeri Sabah masih pada status miskin sejak dulu lagi……Pemimpin didalam Gagasan Rakyat adalah datang daripada kepimpinan yang lalu kini juga berada dikepimpinan yang ada sekarang, tidak banyak berbeza.
“Jadi mana satu kenyataan Timbalan Presiden Datuk Seri Masidi Manjun, Gagasan Rakyat merupakan parti ‘frash’ dipimpin oleh wajah baharu, dipimpin oleh idea-idea baharu sekali gus mengamalkan sistem pentadbiran yang telus, berintegriti serta efisyen,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Jeffrey Nor merupakan Ketua Bahagian UMNO Putatan berkata, UMNO Sabah juga memiliki barisan kepimpinan muda serta mempunyai latar pendidikan yang sangat baik.
“Sudah tentu, ini mencerminkan bahawa mereka dalam UMNO Sabah juga mempunyai ruang untuk memberi pendapat cadangan serta idea baharu bagaimana ingin membangunkan negeri Sabah dengan lebih baik dengan cara yang sangat sistemetik,” jelas Jeffrey Nor.