SANDAKAN: Seiring dengan pembangunan tenaga hijau dan boleh diperbaharui di Sabah, Sabah Electricity Sdn.Bhd. (SESB) bersama dengan SDK Power Sdn. Bhd. (SPSB) akan melaksanakan pentauliahan mula tugas Loji Solar Skala Besar (LLS) di Sandakan pada penghujung November 2023.
Pembangunan loji LSS 10MWac ini merangkumi keluasan 39 ekar dan kemudahan itu akan menempatkan rangkaian 24,672 panel solar yang akan menggunakan kuasa daripada matahari untuk menjana 10MWac elektrik yang bersih.
Ini akan membantu meningkatkan rezab margin grid Sabah yang kini berada pada 12.1 peratus. SPSB adalah antara 10 syarikat pembida di bawah skim LSS1 dan LSS2 yang dianugerahkan kontrak dan menandatangani Perjanjian Pembelian Kuasa (PPA) dengan SESB pada Ogos 2021.
Dalam lawatan rasmi ke loji SDK Power LSS baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir. Ts. Mohd Yaakob Hj. Jaafar berkata beliau optimis dan positif ke atas operasi komersial projek tenaga solar itu.
“SESB memahami keadaan mendesak, dan loji tenaga solar ini akan membantu menangani masalah catuan bekalan yang kerap disebabkan kekurangan kapasiti penjanaan grid. Ini akan meningkatkan margin rizab grid SESB semasa waktu beban puncak.” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Khamis.
Loji LLS berkapasiti 10MWac ini adalah yang terbesar setakat ini di Sandakan dan usaha ini mewakili komitmen SESB untuk membantu mencapai matlamat pembangunan tenaga boleh diperbaharui di Sabah.
Selain itu, ia melambangkan peranan aktif SESB dalam menyokong agenda negara dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).
Mohd Yaakob juga berkata sembilan (9) lagi syarikat yang dilantik sebagai pemaju LLS1 dan LLS2 juga akan beroperasi dan membantu grid Sabah secara berperingkat sehingga Jun 2024.