KOTA KINABALU; Presiden Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah David Chan berkata kerajaan sepatutnya mengurangkan subsidi secara berperingkat bagi memastikan pengguna atau orang ramai tidak mengalami kesan yang mendadak.
Beliau berkata ayam dan telur adalah makanan menjadi pilihan pengguna kerana ia merupakan sumber protein tinggi yang masih murah berbanding makanan lain seperti daging lembu dan kambing, serta sayur-sayuran menggunakan sistem terapung
“Namun ayam dan telur penting kepada golongan B40 kerana mereka tidak mampu untuk membeli makanan mahal… sekurang-kurangnya mereka boleh mendapatkan subsidi makanan berprotein tinggi seperti ayam dan telur sebagai makanan berkhasiat harian mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media mengenai subsidi ayam dihentikan berkuatkuasa 1 November ini.
Semalam, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kerajaan menamatkan sepenuhnya pemberian subsidi dan harga kawalan bagi ayam bermula 1 November ini, manakala pemberian subsidi dan harga kawalan telur gred A, B dan C dilanjutkan mengikut mekanisme sedia ada.
Bagaimanapun, beliau berkata, penamatan subsidi secara pukal itu adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi yang ketika ini ia turut dinikmati warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.