KOTA KINABALU- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Sabah muncul sebagai juara Kejohanan Bowling Jemputan SESB yang telah diadakan di CPS Bowling Centre Point pada Ahad.
Dengan pungutan jatuhan pin sebanyak 4894, pasukan KKM Sabah menewaskan Naib Johan iaitu pasukan Yayasan Sabah yang berjaya menjatuhkan 4873 pin dan tempat Ketiga disandang oleh pasukan Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan jumlah jatuhan pin sebanyak 4833.
Bagi acara Bergu Berpasukan, Johan dimenangi oleh JKR, manakala Naib Johan jatuh kepada Kementerian Belia & Sukan (KBS) dan KKM berada di tempat Ketiga.
Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir.Ts. Mohd Yaakob Hj Jaafar berkata pertandingan itu diadakan sempena dengan Sambutan Jubli Perak SESB ke- 25 tahun ini.
“SESB akan mengadakan lebih banyak lagi acara sukan dan program seumpama ini yang melibatkan penyertaan daripada Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta syarikat-syarikat korporat yang lain sebagai usaha SESB meluaskan jaringan persahabatan,” katanya ketika menyampaikan aluan pada Majlis Penyampaian Hadiah pertandingan tersebut.
Kejohanan itu dianjurkan oleh Kelab Sukan & Rekreasi SESB dan disertai sebanyak 9 Jabatan dan Agensi Kerajaan serta Swasta iaitu JKR, KKM, Yayasan Sabah, Jabatan Air Negeri Sabah, Jabatan Tanah & Ukur, Jabatan Ketua Menteri (JKM), KBS, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan Hospital Gleanegals.