PKAN pertikai dakwaan PH tuntutan Sabah terhadap hak 40% telah dimuktamadkan oleh Kerajaan Perpaduan

KOTA KINABALU: Parti Kerjasama Anak Negeri (PKAN) mempertikaikan dakwaan PH Sabah bahawa tuntutan Sabah terhadap hak 40% telah dipersetujui dan dimuktamadkan oleh Kerajaan Perpaduan Malaysia.

Advertisements

Bonik Gatindus, Naib Ketua Pemuda Parti Kerjasama Anak Negeri (PKAN) turut menolak penjelasan PH Sabah bahawa saman pemula (OS) oleh 12 Wakil Rakyat Pakatan Harapan (PH) Sabah, jika diteruskan, adalah bersifat akademik.

Menjawab kenyataan Ketua Pemuda UPKO Penampang, Billy Dominic, Bonik berkata kenyataan PH Sabah hanya berdasarkan andaian yang meragukan, kerana tiada bukti yang menunjukkan pemenuhan 40% hak itu sudah hampir atau telah dipersetujui atau dimuktamadkan oleh Kerajaan Perpaduan Malaysia.

“Jika benar, bila dan di mana perjanjian itu dibuat dan dimuktamadkan,” soalnya.

“Jika PH Sabah merujuk kepada Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), orang yang tepat untuk membuat pengumuman itu ialah Perdana Menteri sendiri sebagai Pengerusi, bukannya Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick.

“Tetapi dimanakah pengumuman oleh Perdana Menteri? Apa-apa pengumuman selain daripada Perdana Menteri sendiri mengenai hak 40% perlu diambil dengan secubit garam.

Bonik berkata rakyat Sabah sudah bosan dengan banyak janji yang dibuat mengenai MA63. Ia telah mengambil masa terlalu lama, dan terlalu banyak Jawatankuasa Kabinet Khas untuk membincangkan MA63, namun penyelesaian sebenar masih sukar dicapai.

Beliau berkata rakyat Sabah tidak melupakan janji Presiden PBS, Datuk Dr Maximus J Ongkili, ketika itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Sabah dan Sarawak bahawa beliau akan menyelesaikan isu MA63 dalam tempoh 6 bulan.

Kata Bonik, bukan pula menyelesaikan masalah itu selepas 6 bulan, rakyat Sabah dikejutkan dengan penerbitan Warta Persekutuan bertarikh 20 April 2022 yang berkuat kuasa menjadikan formula 40% itu tidak terpakai.

Fakta itu ditegaskan oleh Menteri Kewangan Persekutuan ketika itu, Tengku Zafrul, yang berkata kelayakan 40% itu tidak lagi relevan yang telah mencetuskan kekecohan orang ramai dan mendorong 12 pemimpin PH Sabah untuk memfailkan saman pemula untuk menuntut kembali kelayakan 40%.

Bonik tidak bersetuju dengan hujah PH Sabah bahawa tuntutan 40% telah dipenuhi melalui pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi membolehkan wakil Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak dilantik dalam Lembaga LHDN.

Beliau berkata hanya dengan melantik rakyat Sabah menganggotai di LHDN tidak akan menyelesaikan masalah kelayakan 40%.

“Menyelesaikan isu kelayakan 40% dengan hanya melantik rakyat Sabah ke LHDN adalah seperti memberi ubat panadol untuk penyakit yang jauh lebih serius.”

“Mungkin Billy tidak tahu atau lupa bahawa kira-kira 2 tahun lalu Ketua Pengarah LHDN sebenarnya adalah anak tempatan Sabah dari Ranau.”

“Sebenarnya, tidak perlu melantik orang Sabah ke dalam LHDN untuk mendapatkan data yang diperlukan tentang pendapatan Persekutuan di Sabah.”

“Data tentang jumlah pendapatan Persekutuan di Sabah boleh diperolehi di Parlimen melalui soalan Parlimen.”

Bonik mengingatkan PH Sabah bahawa tuntutan 40% tidak terhad kepada pendapatan cukai yang dikutip oleh LHDN. Pendapatan Persekutuan juga datang daripada cukai import atau eksport, duti kastam termasuk tarif, dan juga pendapatan Persekutuan daripada GLC Persekutuan atau Agensi yang beroperasi di Sabah seperti PETRONAS, FELDA, Permodalan Nasional.

Mengenai jaminan bahawa Warta Persekutuan pada 20 April 2022 akan dibatalkan dan digantikan dengan Warta Persekutuan baharu untuk memasukkan perkataan “penyelesaian Interim”, beliau berkata ia adalah spekulasi semata-mata kerana tiada pengumuman rasmi, dan walaupun ia benar, ia bukan penyelesaian sebenar.

“Rakyat Sabah mahukan penyelesaian sebenar, pemenuhan 40% hak negeri, bukan “penyelesaian sementara” untuk dijadikan bidak semata-mata dalam permainan politik.

Beliau berkata niat asal saman undang-undang yang difailkan oleh 12 pemimpin PH Sabah itu adalah untuk memastikan Kerajaan Persekutuan mematuhi keperluan Perkara 112 C dan Bahagian IV Seksyen 1(2) Jadual 10 Perlembagaan Persekutuan di mana 40% daripada pendapatan bersih Persekutuan di Sabah hendaklah dikembalikan kepada Sabah sebagai Pemberian Khas.

Tetapi mengapa bertindak atas isu kelayakan negeri 40% hanya pada Julai 2024 tahun depan. Mengapa tidak sekarang?

Bonik menyuarakan keraguan tentang jaminan kononnya Presiden UPKO Ewon Benedick boleh memfailkan saman semula jika beliau tidak berpuas hati dengan hasil rundingan mengenai hak 40%.

Bonik berkata janji Ewon kepada pengundi semasa kempen bahawa beliau akan meneruskan samannya walaupun Dato Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri tidak dilupakan dan pasti akan diuji lagi.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles