KIULU: Perpaduan merupakan kunci kejayaan, termasuk dalam arena pendidikan.
Menyedari pentingnya perpaduan, warga SK Mantob, termasuk guru-guru telah menggembling tenaga bagi menjayakan Majlis Penutupan Sambutan Bulan Kebangsaan yang diadakan di sekolah berkenaan baru-baru ini.
Berucap pada majlis itu, Guru Besar SK Mantob, Encik Romie Boliku menekankan pentingnya para pelajar dan pendidik menghayati sejarah negara ini dan bersyukur dapat menikmati kemerdekaan.
Menurutnya semua warga sekolah perlu mengambil peluang menghayati makna sebenar kemerdekaan kerana kemerdekaan bukan sekadar retorik pengkisahan sejarah semata-mata, tetapi lebih dari itu, ianya adalah detik negara tercinta yang bebas daripada cengkaman penjajah dan membentuk negara sendiri.
Selain itu, Romie berkata pelbagai aktiviti menarik telah dianjurkan bagi memupuk semangat patriotik dalam kalangan pelajar, selaras dengan tema Bulan Kebangsaan – Malaysia Madani : ‘Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’.
Sepanjang bulan kebangsaan, Panitia Sejarah dengan kerjasama Panitia Pendidikan Seni Visual, Panitia Muzik, Panitia Pendidikan Jasmani, Panitia Bahasa Melayu, Panitia Bahasa Kadazan Dusun dan Panitia Pendidikan Islam dan Moral telah menganjurkan pelbagai aktiviti dan pertandingan Bulan Kebangsaan.
Antara aktiviti tersebut ialah Pameran Kemerdekaan, Pertandingan Sudut Patriotisme , Pertandingan Buku Skrap Kreatif, Pertandingan Nyanyian Solo Lagu Patriotik, Pertandingan Melukis Poster Kemerdekaan dan Mewarna Poster Kemerdekaan serta Pertandingan Swafoto bagi kategori murid, warga sekolah dan ibu bapa.
Pertandingan Busana Kreatif Merdeka menjadi kemuncak bagi sambutan bulan kebangsaan peringkat SK Mantob tahun ini.
Sambutan Bulan Kebangsaan yang telah dirancang dan dilaksanakan itu diharap dapat mencapai objektif yang disasarkan, terutama dalam konteks memupuk dan menyemarakkan semangat patriotisne di dalam jiwa pelajar-pelajar sekolah.
Selain itu, Romie berkata program yang dianjurkan itu berjaya mewujudkan rasa kekitaan dan semangat berpasukan, dan seterusnya mengeratkan perpaduan di semua peringkat.