SG4 seolah jadikan Tun Mahathir sebagai ketua umum PN – Salleh

KOTA KINABALU: Bekas ketua menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyifatkan pelantikan Tun Mahathir Mohamad sebagai penasihat “Kerajaan 4 Negeri atau SG4 baru-baru ini sebagai langkah awalan menjadikan bekas perdana menteri itu sebagai ketua umum (de facto) Perikatan Nasional (PN). .

Advertisements

“Jelas sekali empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu semuanya adalah negeri yang dikuasai PAS.

“Ini tentu sekali menjelaskan mengapa Tan Sri Muhyiddin tidak dijemput ketika pemimpin PAS bertemu Tun Mahathir awal bulan ini,” katanya dalam catatan terbaharu di Facebook.

Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu melihat pelantikan tersebut sebagai langkah bijak Mahathir untuk cuba kembali berada di barisan hadapan arena politik negara, selepas mengalami kekalahan teruk di Parlimen Langkawi pada PRU ke-15.

“Saya percaya Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai pilihan terhad dan terpaksa akur dengan apa sahaja keputusan yang dibuat oleh Perikatan Nasional pimpinan PAS mengenai pelantikan Tun Mahathir,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dipetik sebagai berkata bahawa Mahathir bakal menjadi “penasihat tidak rasmi” kepada kumpulan rasmi empat kerajaan negeri yang ditadbir Perikatan Nasional.

Samsuri berkata menteri besar Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis akan membincangkan pelan tindakan seterusnya untuk kumpulan yang digelar “Kerajaan 4 Negeri atau SG4.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles