KOTA KINABALU: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) digesa menjadikan sikap sebagai fokus dalam penyediaan pelan strategik masing-masing.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, ini penting bagi mengikis sikap bekerja sambil lewa, don’t care attitude, not sharing responsibilities, not delegating works, and unnecessary delays.
Katanya, selain itu, PBT juga perlu memfokuskan kepada organisasi,iaitu memfokuskan kepada peningkatan keberkesanan PBT dalam menyampaikan perkhidmatan dan membentuk PBT untuk menjadi lebih berdaya saing.
Seterusnya, ekonomi, di mana konteks ekonomi setempat dijadikan sebagai landasan dalam pembangunan setempat, katanya, sambil menambah, PBT perlu membangunkan kelebihan daya tarikan setempat dan memenuhi ekspektasi masyarakat serta memfokuskan isu dalam kawasan PBT tersebut.
Katanya, alam sekitar juga perlu dijadikan fokus iaitu dengan mewujudkan persekitaran mampan, membentuk PBT yang peka dengan kemampanan alam sekitar dalam melaksanakan pembangunan dan pengurusan perbandaran; komuniti iaitu membentuk komuniti berdaya tahan, mementingkan penglibatan masyarakat dan kepakaran yang wujud di kalangan masyarakat setempat dalam pembangunan dan penyelesaian masalah perbandaran; dan pendigitalan PBT iaitu mengguna pakai kelebihan sistem maklumat dalam urus tadbir PBT. Ini dapat membantu meningkatkan kecekapan PBT dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat
“Penyediaan pelan strategik perlu dibuat oleh semua PBT. Ia akan dijadikan sebagai wacana panduan utama dalam merealisasikan hala tuju PBT tersebut,” katanya. katanya ketika merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Persidangan Pihak Berkuasa Tempatan Tahunan Negeri Sabah bagi tahun 2023 di Nexus Resort & Spa Karambunai, di sini, kelmarin (8 Sept).
Dr. Joachim berkata, selain itu, integriti dalam mentadbir urus PBT hendaklah dijadikan sebagai perkara penting.
“Pengurusan perolehan, pentadbiran harian perlu dijalankan dengan lebih telus dan berintegriti dan transparent. Penyediaan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) hendaklah dibuat oleh setiap PBT yang ada di negeri ini.
“Dengan adanya pendekatan ini, tidak mustahil PBT yang ada di negeri ini akan dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk masyarakat setempat,” katanya.
Terdahulu, beliau berkata, terdapat empat isu dan cabaran utama dihadapi PBT dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di kawasan masing-masing.
Pertama, katanya, adalah kecekapan PBT untuk bertindak terhadap perubahan dengan cepat dan menyediakan perkhidmatan berorentasikan pelanggan yang responsive, efektif dan berkesan.
Kedua, kemampuan PBT dalam mengimbangi pembangunan dengan mengekalkan kelestarian dan kehijauan alam dan ketiga, keupayaan PBT dalam mengurus kewangan dan menjana ekonomi setempat.
Keempat, kebolehan PBT dalam membangunkan komuniti dan menjalinkan hubungan strategik antara pelbagai pemegang taruh, tambahnya.
“Walaupun begitu, isu dan cabaran ini seharusnya dilihat dari sudut positif. Inovasi yang kreatif perlu dicipta bagi menanganinya selaras dengan hala tuju Sabah Maju Jaya.
Dr. Joachim berharap agar persidangan ini mampu memberikan pelbagai ilmu, mengupas segala isu dan cabaran yang pada akhirnya akan dapat membantu mencari jalan bagi memperkasa PBT di negeri ini.
Beliau juga mengingatkan kepada semua pentadbir PBT bahawa sesebuah PBT yang baik adalah perlu ada ciri-ciri seperti berkeupayaan menyediakan perkhidmatan perbandaran terbaik; memenuhi ekspektasi (expectation) setempat; berkeupayaan meningkatkan sosio ekonomi setempat; berkeupayaan mengurus kewangan dengan baik; dan mampu menyeimbangkan pembangunan dan kemampanan persekitaran.
Mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua yang berjaya mengikuti persidangan ini sehingga ke penghujung program, beliau berharap apa yang diperolehi sepanjang persidangan tersebut akan dijadikan rujukan dalam meningkatkan prestasi dan kecemerlangan PBT apabila kembali bertugas di daerah masing-masing kelak.
Turut hadir ialah Pembantu Menteri I, Datuk Isnin Aliasnih; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Dr Jamili Nais; Timbalan Setiausaha Tetap II, Faridah Giau dan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Henry Idol.