KOTA KINABALU : Masyarakat diminta memanfaatkan sepenuhnya penganjuran program Hari Terbuka anjuran Kementerian Pendidikan atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk kebaikan dan kemaslahatan sektor pendidikan di negara ini.
Ini kerana program seperti ini dapat mengeratkan kesepakatan dan hubungan
silaturahim antara guru, pelajar dan ibu bapa serta PPD selain untuk memberikan kesempatan kepada ibu bapa dan masyarakat memberikan
pandangan mereka berhubung sistem pendidikan negara.
Focal Person Kebangsaan Kementerian Pendidikan bagi Kumpulan Pelibatan Ibu Bapa Komuniti Swasta negeri Sabah, Mohammad Arif Tun Sakaran berkata program Hari Terbuka juga boleh memperkenalkan sekolah kepada orang ramai selain membolehkan masyarakat dan ibu bapa melihat sendiri pelbagai aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak mereka di sekolah.
“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu yang dapat menganjurkan program Hari Terbuka.
“Program seperti ini antara yang dapat kita lihat bersama-sama dalam konteks (masyarakat dan ibu bapa), lagi dekat dengan PPD Kota Kinabalu di mana ibu bapa yang hadir pada hari ini (dapat menyaksikan) anak-anak mereka bertanding dalam pelbagai program disediakan.
“Ini dapat mengeratkan jalinan kesepakatan dan perpaduan bersama PPD Kota Kinabalu,” katanya.
Mohammad Arif berkata demikian kepada media selepas merasmikan penutupan Hari Terbuka PPD Kota Kinabalu di pusat beli belah One Borneo di sini, semalam.
Sehubungan itu, beliau berharap program Hari Terbuka seperti ini diteruskan di masa hadapan.
“Sesungguhnya program sebegini adalah seharusnya diteruskan supaya kita dapat mengeratkan lagi hubungan antara PPD dan masyarakat.
“Ini kerana kebanyakan program bersama PPD sebelum ini diadakan di pejabat pendidikan, tetapi program hari ini diadakan di luar jabatan dan kita dapat bersama-sama meraikannya kerana melalui jalinan ini, (kita) dapat bersama-sama untuk kemenjadian dan kebersatuan aspek pendidikan khususnya di daerah Kota Kinabalu,” katanya.
Antara pengisian program dua hari ini adalah pertandingan nyanyian bintang kecil, melukis potret, pertandingan busana etnik Malaysia dan menyanyikan lagu patriotik.
Pegawai Pendidikan Daerah Kota Kinabalu, Suhaimi Mat Shah berkata sambutan masyarakat dan ibu bapa ke atas program Hari Terbuka PPD Kota Kinabalu ini adalah amat menggalakkan.
Ini tahun kedua PPD Kota Kinabalu menganjurkan program Hari Terbuka. Program Hari Terbuka ini diadakan serentak di seluruh negara.
“Setakat ini sambutan yang kita terima sepanjang dua hari amat menggalakkan…. pagi tadi sahaja, kita ada lebih kurang 1,800 pengunjung.
“Kita turut mendapat bantuan dan sokongan daripada syarikat-syarikat korporat, bank-bank dan universiti. Kita adakan di (pusat beli belah One Borneo) untuk menarik masyarakat setempat, warga pendidik dan juga ibu bapa,” katanya.