KOTA KINABALU: Perbincangan dengan mana-mana parti untuk bergabung memang satu tindakan awal dilakukan oleh UMNO Sabah dalam menghadapi Pilihan Raya akan datang tetapi elemen penting telah ditetapkan adalah keikhlasan bersama dalam membangun negeri dan rakyat Sabah.
Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah Jeffery Nor Mohamed berkata kejujuran dalam berkawan dan jika berunding ianya perlu dalam keadaan sihat iaitu menang-menang dan akur dengan segala ketetapan yang akan dipersetujui bersama kelak.
“Ini diantara elemen-elemen yang kita UMNO Sabah mahukan. Kita parti politik perlu melihat kepada gerakan lain-lain parti, sudah tentu kita tahu juga serba sedikit niat gabungan dengan parti lain, ini banyak menyumbang kepada hala tuju UMNO Sabah pada masa akan datang.
“UMNO Sabah sudah melalui pelbagai rintangan sebelum-sebelum ini, sudah tentu pengalaman ini mengajar kita banyak tentang berpolitik yang betul dan kali ini kena lebih berhati-hati mencari teman,” katanya kepada Sabah News Today, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan Parti WARISAN Datuk Azis Jamman memaklumkan kedua-dua parti itu mula mengadakan perbincangan dan masih mempertimbang kemungkinan pakatan dengan pelbagai parti lain bagi menghadapi pilihan raya kelak.
Jeffery yang juga Ketua Bahagian UMNO Putatan berkata perbincangan awal memang menjadi kebiasaan mana-mana parti bagi mencapai objektif parti iaitu melihat potensi ‘smart partnership’ dalam mengharungi mana-mana pilihan raya.
Katanya politik masa kini amat berbeza dengan masa lalu, single parti bukan lagi satu kesesuaian untuk dilakukan sekarang kerana hasil dari data terkini dan dari laporan kerja di lapangan memerlukan UMNO Sabah mencari sahabat yang boleh bersama dan memberi kesan terbesar ketika menghadapi Pilihan Raya nanti.
“Saya meminta kepada ahli-ahli parti serta rakan-rakan dalam Barisan Nasional menerima hakikat ini dimana kita tidak lagi boleh menjadi ‘single party, single government’ sebab perkara ini tidak akan berlaku tanpa bersama dengan parti-parti lain ataupun gabungan lain dalam menghadapi pilihan raya akan datang bagi merai kejayaan.
“Saya sudah berulang kali menyatakan bahawa keutamaan UMNO Sabah sekarang adalah rakyat yang sedang dianda krisis tenaga elektrik, sumber air bersih terawat, kos sara hidup kerana kadar pengangguran yang tinggi serta masalah perumahan untuk rakyat, dengan beberapa isu urus tadbir kerajaan negeri yang dianggap tidak mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI)..ini semua sangat-sangat memberi kesan kepada rakyat Sabah,” tegasnya.
Justeru, beliau berkata, jika ada mana-mana gabungan lain yang mempunyai hasrat yang sama sudah tentu UMNO Sabah amat mengalu-alukan.
Jeffery menambah UMNO Sabah mempunyai kuasa autonominya sendiri iaitu diantara haknya ialah boleh mencari mana-mana sahabat atau parti atau juga gabungan lain bagi membentuk kerajaan negeri biarpun ianya berbeza dengan Kerajaan Persekutuan.
Katanya UMNO Sabah sekarang ini majoritinya dipimpin oleh wajah-wajah baru anak Sabah sudah tentu suara, idea dan tindakannya nanti sangat berbeza dengan yang lalu.
“UMNO Sabah sudah terbukti terus berkerja untuk rakyat Sabah biarpun dalam posisi pembangkang yang lalu.
“Saya berharap dengan kerjasama yang akan terjalin nanti dengan mana-mana gabungan lain atau pun parti lain dapat bersama-sama membangunkan negeri Sabah yang sudah tercengkam begitu lama dengan budaya lama biarpun ada yang telah melompat beberapa kali parti tapi budaya serta pemikiran itu masih sama,” katanya.
Beliau berkata segala keputusan pembentukan kerjasama dengan mana-mana gabungan itu akan diputuskan oleh kepimpinan UMNO Sabah nanti
Katanya sudah tentu kepimpinan tertinggi UMNO Sabah ingin melihat UMNO Sabah kembali menjadi Kerajaan Negeri dengan mana-mana gabungan dipimpin oleh muka-muka baru dan sudah terbukti boleh berkerja untuk rakyat Sabah.