FPL UMS kongsi ilmu ternakan lebah kelulut dan khasiat madu kepada PPK Sandakan

KOTA KINABALU: Fakulti Pertanian Lestari (FPL), Universiti Malaysia Sabah (UMS) kampus Sandakan telah mengadakan perkongsian ilmu ternakan lebah kelulut dan khasiat madu kepada Ahli Jemaah Lembaga Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sandakan, baru-baru ini.

Advertisements

Sesi perkongsian disampaikan pensyarah penyelidik yang juga Ketua Insektarium dan Living Lab RagBio, Prof. Madya Dr. Suzan Benedick @ Sarah Abdullah.

Antara yang dikongsikan termasuklah dapatan hasil penyelidikan berkaitan ciri-ciri madu kelulut tulen yang dibiayai Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS).

Katanya, madu kelulut tulen adalah kaya dengan unsur mineral seperti Kalsium (Ca), Magnesium (Mg), Natrium (Na), Kalium (K), dan Dihydroxyacetone (DHA).

“Ia juga mengandungi Methylglyoxal (MGO) dan volatile organic compounds (VOCs) yang biasanya tidak terdapat dalam madu tiruan.

“Bagi di Sabah, kita mempunyai madu dari spesies kelulut Heterotrigona itama yang mempunyai kandungan VOCs, DHA dan MGO yang tinggi.

“Manfaatnya ialah untuk kesihatan antimikrob, dan ia setanding dengan khasiat madu lebah monoflora dari New Zealand dan Australia,” jelas Suzan.

Sesi perkongsian itu dihadiri 35 ahli PPK terdiri daripada 24 ketua-ketua unit dan 11 anggota pengurusan.

Sementara itu, Pengurus Besar Kawasan PPK Sandakan, Arifin Bacho merakamkan ucapan penghargaan atas perkongsian ilmu dan sambutan daripada warga pengurusan FPL UMS.

“Kehadiran PPK bertujuan mempelajari tentang ilmu penternakan lebah kelulut dan khasiat madu yang efektif dan lestari.

“Untuk makluman, PPK mempunyai sebanyak 120 log lebah kelulut yang terletak di Batu 10, Rancangan Sungai Manila Selatan Sandakan.

“Kami berhasrat untuk mengembangkan lagi penternakan lebah bagi penghasilan produk madu yang semakin tinggi permintaannya di pasaran,” ujarnya.

Rombongan PPK Sandakan turut berpeluang menyaksikan kaedah penternakan lebah kelulut yang diternak sejak 2016 dan menghasilkan produk madu yang baik di Insektarium dalam kampus FPL.

Hadir sama Dekan FPL UMS, Prof. Madya Dr. Azwan Awang; Timbalan Dekan Pengurusan Ladang dan Hubungan Industri FPL, Prof. Madya Dr. Jupikely @ James Silip dan Ketua Pentadbiran FPL, Dr. Roslan Hj. Gimba.

Yang turut hadir, Pegawai FOKAL Kolaborasi Industri Fakulti, Dr. Salumiah Mijin; Pegawai Pertanian, Hamdy Roslee dan Penolong Pegawai Sains FPL, Zilpiree Jaabi.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles