Taufik Rosman anak Sabah dinobatkan Wikimedian of the Year

KOTA KINABALU: Pemudah cara dari Wikimedia Community User Group Malaysia, Mohd Taufik Rosman dianugerahkan ‘Wikimedian of the Year’, anugerah yang diberikan kepada sukarelawan cemerlang dalam projek Wikimedia di seluruh dunia.

Advertisements

Anugerah disampaikan Pengasas Wikipedia, Jimmy Wales, sempena persidangan tahunan yang meraikan ‘Wikimedians’ dan sukarelawan yang menyumbang kepada projek Wikipedia yang berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec, Singapura, baru-baru ini.

Taufik, 24, berkata, anugerah itu bukan sahaja menyerlahkan apa yang dilakukan beliau selama ini, malah menunjukkan bahawa Malaysia sudah berkembang menjadi sebuah komuniti yang gemar berkongsi ilmu yang boleh dipercayai menerusi ensiklopedia dalam talian.

Katanya, menerusi teknologi digital itu komuniti Orang Asli dan Orang Asal di Malaysia terbabit dalam usaha memelihara dan memulihara bahasa mereka melalui projek seperti Wikipedia dan Wiktionary termasuk Bahasa Bajau Sama di Sabah.

Beliau berkata, Wikikamus Bahasa Bajau Sama juga sedang dalam proses dilengkapkan sejak projek bersama Persatuan Bahasa dan Budaya Bajau Sama (BSBB) dimulakan pada Disember 2021, sebelum dimasukkan ke dalam Wikikamus.

“Wikipedia Bahasa Bajau Sama dijayakan sukarelawan meliputi pakar bahasa Bajau Sama dan belia selain pembabitan pakar bahasa Bajau Sama, Dr Mark Miller yang memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang Lingusitik pengkhususan Tatabahasa Bajau Pantai Barat atau Bajau Sama,” katanya di sini.

Sementara itu, Yang Dipertua BSBB, Chendramata Sinteh bangga dengan pencapaian Taufik yang juga peneraju penerbitan Wikipedia berbahasa Bajau Sama.

“Kami bangga dengan pencapaian Taufik dan menghargai usahanya membimbing sukarelawan muda dalam kalangan anak Bajau untuk merealisasikan matlamat persatuan menerbitkan Wikipedia atau Wikikamus berbahasa Bajau Sama,” katanya.

Edisi ke-18 persidangan Wikimania itu dianjurkan oleh sukarelawan terutama dari Singapura, Asia Tenggara dan rantau Pasifik dengan sokongan daripada kakitangan Yayasan Wikimedia.

Acara itu memberi peluang kepada peserta untuk membabitkan diri dengan minda cerdas dalam landskap maklumat digital dan pendidikan, mengambil bahagian dalam perbincangan mendalam selain mendengar sendiri mengenai usaha untuk menyebar serta memelihara ilmu dan warisan budaya di Wikipedia.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles