Cadangan Yong agar parti Semenanjung tidak tanding PRN Sabah tidak masuk akal – Bung

KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan cadangan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee agar parti-parti yang berpangkalan di semenanjung tidak bertanding pada pilihan raya negeri akan datang sebagai tidak masuk akal.

Advertisements

Beliau berkata Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi dan sekaligus membenarkan semua parti berdaftar bertanding di mana-mana negeri.

Bung Moktar yang juga anggota Parlimen Kinabatangan berkata Yong perlu menetapkan pendirian kerana SAPP kelihatan tidak mempunyai hala tuju memandangkan parti menjadi anggota dua gabungan, iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Perikatan Nasional (PN).

“Di Sabah, Yong menyokong GRS di bawah Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, iaitu dengan kerajaan perpaduan persekutuan. Di peringkat persekutuan, pula, dia bersama Perikatan Nasional yang menentang Kerajaan Persekutuan,” kata Bung Moktar dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Yong yang juga timbalan pengerusi GRS dilaporkan berkata parti yang berpangkalan di semenanjung harus mengelak daripada bertanding dalam pilihan raya negeri.

Bercakap pada majlis SAPP pada Ahad lepas), ADUN Dilantik itu berkata dengan mengambil kira ia adalah pilihan raya negeri, hanya parti tempatan yang patut bertanding di 73 kerusi DUN.

Yong dipetik sebagai berkata bahawa beliau akan mencadangkan kepada kepimpinan GRS supaya parti-partii luar termasuk Pakatan Harapan, BN dan PN tidak menyertai PRN Sabah bagi mengelak sebarang pertindihan calon.

Bung Moktar berkata, SAPP kini berada di posisi atas pagar dan cuba menikmati kedua-dua dunia politik iaitu berada dalam kerajaan di peringkat negei dan bersama pembangkang di peringkat kerajaan persekutuan.

“Saya nak tanya apa pendirian sebenar mereka? Saya mesti ingatkan Yong dan SAPP bahawa Perikatan Nasional adalah parti berasaskan nasional yang diketuai oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS,” kata Bung Moktar.

“Adakah anda bermaksud Bersatu tidak perlu melebarkan sayap di Sabah? Bagaimana pula dengan naib presiden Bersatu Datuk Seri Ronald Kiandee dan Adun Dilantik dari PAS Dr Aliakbar Gulasan in Sabah,” katanya.

Oleh itu, Bung Moktar berkata kenyataan Yong itu tidak masuk akal, sambil menambah bahawa sudah tiba masanya untuk mereka menyedari bahawa parti nasional telah memainkan peranan penting di Sabah.

Beliau berkata parti tempatan seperti Usno, Parti Berjaya dan Parti Bersatu Sabah (PBS) telah gagal dalam politik Sabah dan masa depan yang sama untuk banyak parti berasaskan tempatan pada masa hadapan.

Bung Moktar berkata SAPP tidak memenangi satu kerusi pun dalam mana-mana pilihan raya yang ditandinginya selepas meninggalkan BN pada 2008.

“Saya percaya Yong sedar sepenuhnya bahawa dia telah kehilangan depositnya berulang kali dalam tempoh 20 tahun lepas. Bukankah ini mesej kepada SAPP, mereka telah kehilangan kerusi kepada parti nasional seperti DAP di kawasan majoriti Cina?,” kata Bung Moktar.

Beliau berkata: “Rakyat Sabah telah menyokong BN yang diketuai oleh Umno Sabah dan parti-parti tempatan lain berulang kali sejak PBS meninggalkan BN pada 1990”.

Bung Moktar berkata Yong adalah sebahagian daripada PBS apabila ia meninggalkan BN pada pertengahan pilihan raya umum 1990 yang membawa Umno ke Sabah.

Tambahnya, Yong kemudiannya meninggalkan PBS untuk membentuk SAPP dan bergabung dengan Umno di bawah gagasan BN.

“Jadi apa yang Yong maksudkan apabila dia bercakap tentang menolak parti nasional?” katanya.

Bung Moktar mengingatkan Yong bahawa SAPP dan dirinya telah ditolak oleh rakyat berkali-kali sejak 20 tahun lalu dan kembalinya beliau kepada kerajaan GRS menyaksikan pelantikannya sebagai ADUN Dilantik.

“Ia umpama kemasukan pintu belakang kepada kerajaan negeri dengan dicalonkan sebagai ADUN Dilantik. Yong harus membuktikan bahawa beliau mendapat sokongan rakyat terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan seperti itu,” kata Bung Moktar.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles