Kumpulan Yayasan Sabah perkasakan komitmen penyelidikan hutan


 
KOTA KINABALU : Kumpulan Yayasan Sabah memperkukuhkan komitmennya dalam penyelidikan hutan berimpak tinggi, dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan South East Asia Rainforest Research Partnership (SEARRP) untuk lanjutan kali ke lapan program penyelidikan dan latihan di Lembah Danum, hari ini.

Advertisements

SEARPP ialah sebuah organisasi yang mengendalikan penyelidikan saintifik bertaraf dunia dalam usaha menangani pelbagai isu alam sekitar khususnya berkaitan perubahan iklim.

MoU itu ditandatangani Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar manakala
SEARRP diwakili oleh Pengarahnya, Datuk Dr. Glen Reynolds.

Jawatankuasa Pengurusan Lembah Danum (DVMC) pula diwakili oleh Pengerusinya merangkap Ketua Konservator Hutan, Datuk Frederick Kugan.
 
Majlis disaksikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir dan Konsul Kehormat British di Sabah, David Powell.
 
Dalam ucapannya, Abidin berkata, program penyelidikan dan latihan hutan hujan tropika Lembah Danum yang dijalankan sejak 1984 adalah sebahagian daripada kerjasama antara Kumpulan Yayasan Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah, Universiti Kebangsaan Malaysia, Sabah dan The Royal Society, United Kingdom.
 
“Sejak itu, tujuh Memorandum Persefahaman telah ditandatangani bagi meneruskan program kolaborasi tersebut,” katanya.
 
Menurut Abidin, dalam pemeteraian MoU kali ketujuh (2015 – 2020), The Royal Society telah diwakili oleh SEARRP yang mengawal selia program penyelidikan hutan hujan tropika Asia Tenggara, yang berpusat di Kawasan Konservasi Lembah Danum (DVCA).
 
Katanya, MoU ini bertujuan untuk melatih kalangan saintis muda Sabah dalam penyelidikan alam sekitar tropika, sekaligus dapat menyumbang kepada usaha pemuliharaan dan pengurusan hutan hujan tropika yang melibatkan lebih 140 penyelidik antarabangsa.
 
“Melalui program ini, sebanyak 750 jurnal telah diterbitkan oleh pakar sains Danum dan SEARRP dan lebih daripada 120 tesis Doktor Falsafah (PhD) dan tesis Sarjana telah siap atau dalam proses untuk disiapkan.

Untuk rekod, DVCA telah dipilih sebagai pusat penyelidikan alam sekitar kedua paling berpengaruh di dunia ketika persidangan tahunan Society for Tropical Ecology pada 2015, selain turut diiktiraf sebagai kawasan hutan bernilai tinggi untuk kajian ekosistem hutan hujan tropika.

DVCA yang berkeluasan 43,800 hektar (438 km persegi) adalah Hutan Simpan Kelas 1 di bawah Kawasan Pengurusan Hutan Yayasan Sabah.

Selain kaya dengan kepelbagaian spesies flora, hutan hujan tropika di
Lembah Danum yang berusia 130 juta tahun turut menjadi habitat kepada pelbagai spesies hidupan liar seperti gajah pigmi, Orang Utan, lebih 300 spesies burung dan ribuan spesies serangga.

Abidin berkata Kumpulan Yayasan Sabah melalui DVMC, komited untuk memperluaskan rangkaian penyelidikan di peringkat global untuk menangani isu alam sekitar.

“Ini terbukti melalui kerjasama rapat dengan Universiti Kyoto dalam program penyelidikan Orang Utan.
 
“Saya yakin MoU ini bakal mendorong aktiviti penyelidikan dan latihan di DVCA dan akan menyumbang kepada lebih banyak
kemajuan saintifik dan pembangunan strategi pemulihan berkesan dalam berdepan dengan cabaran dan ancaman perubahan iklim,” katanya.
 
Pada majlis itu, Abidin turut melancarkan buku bertajuk ‘Water and The Rainforest in Malaysian Borneo: Hydrological Research at the Danum Valley Field Centre’ oleh Profesor Ian Douglas, mengisahkan tiga puluh tahun pengajian hidrologinya di DVCA.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles