KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, beliau akan membincangkan isu pengajaran Bahasa Kadazandusun (BKD) di institut perguruan bersama Menteri Pendidikan dan Pengajian Tinggi.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, perbincangan itu adalah untuk mencari jalan penyelesaian masalah dan cabaran yang dihadapi guru-guru BKD seterusnya memantapkan lagi pengajaran bahasa itu.
“Kita akan mengadakan perbincangan bersama kementerian berkenaan agar pengajian Bahasa Kadazandusun diperkasakan di peringkat institut pengajian tinggi seperti Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).
“Selain itu isu bidang pengkhususan bahasa etnik di Institut Pendidikan Guru (IPG) yang tidak disenaraikan dalam pengambilan calon guru bagi sesi tahun 2023 juga telah menimbulkan kekecewaan dan kebimbangan dikalangan guru-guru BKD.
“Perkara ini saya akan bincangkan bersama menteri berkenaan untuk mencari jalan penyelesaian demi memperkasakan Bahasa Kadazandusun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Bahasa Kadazandusun (BKD) Peringkat Kota Belud, di Dewan SMK Narinang, di sini, pada Jumaat.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), berkata, sekiranya pengajian BKD tidak lagi ditawarkan di IPG, program BKD di UPSI harus diperkasakan. Setakat ini UPSI hanya menawarkan program BKD sebagai minor dan elektif.
“Program BKD perlu diperkasakan untuk memenuhi keperluan mendesak, bukan sahaja membekalkan lebih ramai guru terlatih dan kompeten dalam bidang Bahasa Kadazandusun tetapi memenuhi tenaga dan pasaran pekerjaan yang berkelayakan, berkemahiran dan berketrampilan seperti pemberita, DJ Radio, televisyen, pemandu pelancong dan pensyarah.
“Selain itu, penawaran bidang BKD juga penting untuk memperluaskan penyelidikan secara ilmiah berkaitan bahasa, budaya dan sastera dalam bahasa itu,” katanya.