Gambar NST
KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) merayu kepada kerajaan Sabah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor supaya menawarkan biasiswa kepada pelajar miskin SMK Tun Fuad Stephens, Arnie Jaliusih yang berjaya menperolehi
Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0 dalam peperiksaan STPM tahun lepas.
Bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga Arnie yang terpaksa meminjam wang dari penduduk kampung bagi membolehkan anaknya menghadiri majlis penghargaan pelajar cemerlang STPM,
Naib presiden KDM Henry Saimpon berkata pencapaian cemerlang Arnie meskipun dari keluarga miskin wajar diberi pertimbangan khas untuk mendapatkan biasiswa.
Henry yang juga ketua KDM Tuaran yang berasal dari Kiulu berharap impian Arnie, 20, anak kepada penoreh getah itu menjadi seorang guru dapat direalisasikan.
“Saya amat bersimpati dan terkejut apabila saya terbaca di portal berita NST (Khamis) keperitan hidup keluarga Arnie sehingga terpaksa meminjam wang RM120 dari penduduk kampung untuk menghadiri majlis penghargaan itu.
“Bagi saya pelajar cemerlang dari kg Sinasag Kiulu itu wajar ditolong. Mungkin ramai lagi pelajar yang berada dalam situasi yang sama yang memerlukan pembelaan,” katanya dalam satu kenyataan bagi mengulas laporan berita NST itu.
Sehubungan itu, Henry menyeru kerajaan negeri supaya memperhebatkan lagi program pembasmian kemiskinan di Sabah, termasuk di DUN Kiulu.
“Kisah sedih cam ini tidak sepatutnya berlaku jika ada engagement secara berterusan mendengar keluhan dan rintihan rakyat khususnya di kawasan terpencil,” katanya.
Susulan perkembangan terbaharu itu, Henry berpendapat sudah tiba masanya KDM Tuaran menperhebatkan “Program Mendekati Rakyat” termasuk golongan muda bagi menyelami dan mendalami keluhan rakyat peringkat akar umbi terutama DUN Kiulu dan Tamparuli dalam masa terdekat.
“Selaras dengan prinsip demokrasi, kami sedang mempertimbangkan untuk melebarkan pengaruh di Kiulu dan Tamparuli sebagai sebahagian daripada persiapan KDM menghadapi pilihan raya negeri akan datang,” katanya.